Ahli dewan undangan negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu hari ini menggesa rakyat Sarawak menyokong usul menghadkan tempoh jawatan ketua menteri negeri itu di ambang pilihanraya negeri itu bulan depan.

Sama seperti cadangan beliau sebelum ini yang mahu Pulau Pinang juga menghadkan tempoh jawatan yang sama sehingga menimbulkan kontroversi, Teh berkata, usul tersebut adalah selaras dengan prinsip-prinsip demokrasi.

"Sarawak telah berpengalaman dalam menerima ketua menteri tanpa had memegang jawatan, jadi mereka sepatutnya berfikiran terbuka untuk meminta agar ada had tempoh untuk ketua menteri memegang jawatan itu,” Teh memberitahu Malaysiakini.

Kenyataan Teh itu merujuk kepada bekas ketua menteri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud yang memerintah negeri itu selama 33 tahun dari tahun 1981 sehingga 2014 sebelum memilih Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sebagai penggantinya.

Teh, sebelum ini mendapat tekanan dari Dap setelah beliau bukan sahaja mendesak Ketua Menterinya, Lim Guan Eng bercuti ekoran kontroversi pembelian banglonya, malah Teh menyerahkan memo usul kepada Speaker DUN bagi mengehadkan tempoh jawatan itu kepada dua penggal sahaja.

Baru-baru ini, Adenan pula memberi bayangan bahawa penggal akan datang adalah tempoh terakhir untuk beliau menjadi ketua menteri setelah sepuluh kali bertanding dalam pilihanraya negeri.