Kami tidak pernah janji serah sumbangan kepada Penita, kata Wardah
Bekas Ketua Puteri Umno Bahagian Jelutong, Wardah Abu Bakar, menolak dakwaan kononnya pergerakan itu akan memberi sebahagian kutipan program Malam Amal Tahun Baru 2005 kepada Pertubuhan Penita Pulau Pinang, sebuah pertubuhan ibu tunggal di negeri itu.
Bekas Ketua Puteri Umno Bahagian Jelutong, Wardah Abu Bakar, menolak dakwaan kononnya pergerakan itu akan memberi sebahagian kutipan program Malam Amal Tahun Baru 2005 kepada Pertubuhan Penita Pulau Pinang, sebuah pertubuhan ibu tunggal di negeri itu.
Katanya, dakwaan yang dibuat oleh Penyelaras Penita, Sarama Abdullah bahawa kedua-dua pihak membuat perjanjian seumpama itu "adalah bohong dan fitnah".
"Penita tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dan Puteri Umno tidak boleh membuat sebarang perjanjian dengan mana-mana pertubuhan yang tidak berdaftar untuk mengadakan kerjasama dengan mereka.
"Jadi program Malam Amal Tahun Baru 2005 adalah anjuran sepenuhnya Biro Penerangan Puteri Umno Jelutong. Ia tidak ada sangkut paut dengan Penita," kata Wardah ketika dihubungi semalam.
Katanya, program amal itu memang diadakan untuk mengutip sumbangan orang ramai bagi membantu ibu tunggal di seluruh Pulau Pinang, tetapi bukannya untuk diserahkan kepada Penita.
Malah, katanya, nama Penita tidak ada langsung dalam senarai bakal penerima sumbangan dari Puteri Umno bahagian berkenaan.
Tidak didaftarkan
Wardah berkata demikian sebagai mengulas laporan bahawa Penita membuat dua aduan polis terhadapnya dan beberapa pemimpin Puteri Umno Jelutong lain kerana didakwa tidak menyerahkan kutipan wang tersebut kepada pertubuhan ibu tunggal itu.
Sebaliknya, Sarama mendakwa, Penita yang menganjurkan majlis tersebut dengan kerjasama Puteri Umno Jelutong, dan memandangkan ia belum didaftarkan, maka pemimpin Puteri Umno terbabit. telah menawarkan diri untuk membantu menyelaraskan wang tersebut.
Sehubungan itu, Wardah berkata Sarama memang datang untuk membantu Puteri Umno Jelutong membuat persiapan bagi menjayakan program Malam Amal Tahun Baru 2005 tetapi hanya separuh jalan.
Beliau berkata, Sarama membuat tuntutan supaya kutipan hasil jualan tiket program tersebut diberikan kepada Penita "tetapi kita (Puteri Umno) tidak boleh berbuat demikian kerana Penita adalah sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar".
"Kemudian Sarama membuat tuntutan secara persendirian. Ia juga ditolak kerana kita tidak boleh memberi wang atas nama individu tanpa sebab munasabah," katanya.
Laporan polis
Bagaimanapun, Wardah menolak dakwaan bahawa individu tertentu, termasuk dari Puteri Umno Jelutong, ada membuat ugutan terhadap Sarama selepas dia membuat aduan polis tersebut.
Katanya, beliau akan mengambil tindakan lanjut berikutan tindakan Sarama yang terus memburuk-burukkan beliau dan beberapa ahli puteri lain.
"Kami sedang berbincang dengan pihak peguam mengenai tindakan lanjut ke atas Sarama," katanya.
Penita membuat dua aduan polis terhadap beberapa bekas pemimpin Puteri Umno kerana didakwanya menggelapkan wang RM10,000 yang disumbangkan untuk ibu tunggal di negeri itu.
Dalam laporan polisnya itu, Sarama telah menamakan Wardah; ketua penerangan, Mehar Banu Mohamad Saleh; bendahari, Anila Abdullah; ahli jawatankuasanya, Che Puteh Abu Bakar, Nooraini Mohamed Saleh dan Fazilah Suleiman sebagai mereka yang didakwanya bertanggungjawab menggelapkan wang tersebut.
Beliau juga menamakan seorang pemimpin cawangan yang didakwanya turut terbabit dalam kes tersebut sebagai Mohd Abidin Mohd Noor dari Umno cawangan Persisiran Sungai.

