Malaysiakini
BERITA

El Nino: 15 loji rawatan air terjejas libat 28,200 akaun pengguna

Diterbitkan
Dikemaskini 21 Apr 2016, 10:36 malam

Sebanyak 15 loji rawatan air (LRA) di lima negeri terjejas pengeluaran air terawat yang melibatkan 27,000 akaun di Semenanjung Malaysia dan 1,200 akaun di Sabah berikutan fenomena El Nino.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dalam kenyataannya semalam berkata LRA di lima negeri iaitu Pahang, Kedah, Johor, Perlis dan Sabah telah mengurangkan pengeluaran air terawat akibat kekurangan sumber air mentah.

"Keadaan cuaca panas yang melampau ini telah menyebabkan beberapa sungai dan empangan yang membekalkan sumber air mentah untuk bekalan air awam mengalami penurunan aras air," kata kementerian itu.

Menurut kementerian itu, fenomena El Nino yang diramalkan melanda negara sehingga Jun ini dijangka menyebabkan pengurangan jumlah hujan antara 20 hingga 60 peratus.

Susulan itu, katanya langkah mitigasi yang diambil oleh syarikat-syarikat air di negeri terbabit termasuk penghantaran bekalan air melalui lori tangki, pembekalan air melalui tangki statik, pemasangan 'pam pontoon' dan pemasangan 'purified water package plant' terutamanya di Sabah.

Menurut KeTTHA, penyelesaian masalah bekalan air memerlukan kerjasama jitu antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

"Kerajaan negeri perlu memastikan kawasan tadahan air dipelihara daripada sebarang aktiviti pembangunan tidak terkawal termasuk pertanian yang menjejaskan sumber air mentah.

"Kerajaan persekutuan akan meneroka sumber-sumbar air alternatif, menggiatkan kempen penjimatan air dan memperkenalkan struktur tarif air berdasarkan 'user pays principle' bagi menggalakkan penggunaan air secara erhemah," katanya.

Sementara itu, KeTTHA berkata setakat ini dua kawasan iaitu Kota Tinggi dan Mersing di Johor yang telah mengaktifkan operasi bekalan air berjadual sejak 18 April lepas.

"Sebanyak 17,000 akaun pengguna terlibat dalam operasi itu berdasarkan mekanisme satu hari ada air dan dua hari tiada air," katanya.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.