Azmin harap pertindihan kerusi selesai sebelum hari pencalonan
Menjelang pilihan raya negeri Sarawak ke-11 7 Mei ini, DAP dan PKR masih belum mencapai kata sepakat dalam tuntutan bertindih di empat atau lima kerusi.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berharap pertindihan tuntutan itu dapat diselesaikan sebelum hari pencalonan.
"Kami masih dalam proses rundingan dengan DAP dan diharapkan kami akan dapat menyelesaikan sebelum hari pencalonan.
"Saya benar-benar berharap kita boleh memuktamadkan rundingan secepat mungkin," kata Azmin kepada pemberita selepas majlis anugerah perkhidmatan cemerlang tahun 2015 Majlis Perbandaran Ampang Jaya ( MPAJ) di Ampang malam tadi.
Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian sebelum ini dilaporkan menolak konsensus agihan kerusi yang dibuat pada peringkat kebangsaan di kalangan parti sekutu Pakatan Harapan.
Ia mengekalkan keputusan awal untuk bertanding di 40 kerusi pada pilihan raya negeri 7 Mei ini.
Baru Bian juga dilapor berkata beliau telah memaklumkan keputusan berkenaan kepada ibu pejabat kebangsaan PKR.
Dengan keputusan ini, menurutnya, kedua-dua PKR dan sekutunya, DAP berdepan dengan tuntutan bertindih di empat atau lima kerusi.
Mengulas lanjut adakah ia akan diumumkan dalam lawatan menteri besar Selangor itu ke Sarawak hari ini, ini jawab Azmin:
"Tidak semestinya. Ia bergantung kepada sama ada kita boleh menyelesaikan esok (hari ini)," kata anggota Parlimen Gombak itu.
Ketika diminta mengulas berapakah jumlah kerusi yang sepatutnya ditandingi, Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa, enggan mendedahkannya.
"Saya tidak dapat mendedahkan jumlah itu sekarang, kerana rundingan masih berjalan," tegas Azmin.
DAP Sarawak semalam telah menyenaraikan calon bagi 29 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya Sarawak 7 Mei depan.
Pengerusinya, Chong Chieng Jen berkata, beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa.
Ini termasuk lapan bekas Ahli DUN yang juga akan mempertahankan kerusi mereka iaitu Wong King Wei (Padungan), Violet Yong (Pending), Chiew Wang See (Batu Kawa), Ting Tze Fui (Meradong), Yap Hoi Liong (Dudong), David Wong (Pelawan), Chiew Chiu Sing (Tanjung Batu) dan Alan Ling (Piasau).

