Selepas desakan pelbagai pihak, hari ini Pemuda Umno pula tampil menuntut Tenaga Nasional Berhad (TNB) melaksanakan tanggungjawab sosial untuk memberikan rebat khas kepada pelanggan di seluruh negara susulan fenomena El-Nino yang melanda negara hari ini.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun berkata dalam keadaan sebegini TNB tidak seharusnya mementingkan kantung korporatnya sahaja sebaliknya turut sama bertanggungjawab mengurangkan beban rakyat.

Justeru, TNB harus menawarkan rebat khas bersifat ‘one off’.

“Pemuda Umno mendesak agar TNB menawarkan rebat khas bersifat ‘one off’ bagi setiap bulan sepanjang fenomena El-Nino ini bagi mengurangkan beban rakyat.

“Pemuda Umno beranggapan ini adalah adil kerana pihak TNB tidak sepatutnya melihat kantung korporat semata-mata dengan keuntungan berlebihan ekoran cuaca panas terik kini, malah sebarang cadangan penjimatan penggunaan tenaga tidak sesuai kerana masakan rakyat dapat berjimat menggunakan elektrik apabila keperluan itu sudah terdesak,” kata Khairul dalam satu kenyataan yang dikongsikan di laman Twitter.

Semalam, Gerakan Pengguna Malaysia (MCM) juga dilaporkan meminta TNB menawarkan rebat bil elektrik kepada lebih 8 juta pelanggannya di seluruh negara.

Malah, Presiden MCM, Darshan Singh Dhillon dilapor berkata, mungkin sudah tibanya kerajaan untuk mempertimbangkan penawaran penerimaan ke atas cukai-cukai yang dibayar menerusi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Mengulas lanjutr, Khairul berkata dalam cuaca panas terik hari ini sudah pasti rakyat akan menggunakan tenaga elektrik lebih daripada biasa bagi peralatan seperti pendingin hawa, kipas mahu pun peti sejuk.

Oleh itu, atas keprihatinan semua pihak Khairul berkata TNB perlu segera memperhalusi formula dan kaedah rebat khas ini untuk kepentingan rakyat.

Sejak beberapa bulan yang lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan bahawa suhu akan meninggi sepanjang tahun ini, dengan ada kalanya melebihi paras 37C yang akan menyebabkan cuaca panas melampau ekoran kesan El Nino.