Kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan permintaan penduduk rumah panjang di Sungai Asap untuk mengusahakan tanah asal mereka di Hulu Balui yang berada di sekitar tasik Empangan Bakun, kata Menteri Kemajuan Tanah Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Beliau berkata pihaknya bersama Sarawak Hidro Sdn Bhd, yang merupakan syarikat pengendali Empangan Bakun, akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa berkaitan di Sarawak mengenainya.

Kawasan tersebut ditinggalkan pada 1998 dan 1999 ketika penduduk 15 buah rumah panjang di sekitar Hulu Balui dipindahkan ke pusat penempatan rumah panjang moden di Sungai Asap bagi memberi laluan kepada pembangunan projek empangan itu. Sungai Asap terletak kira-kira 60km dari tapak empangan.

"Kedua-dua pihak iaitu kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan akan pertimbangkan... kami akan uruskan perkara ini dengan sebaik mungkin dan bahagikan tanah tersebut mengikut bahagian masing-masing. Walaupun kelulusan hendaklah diperoleh daripada Jabatan Tanah dan Survei, tapi kami boleh membantu.

"Tanah itu asalnya adalah milik mereka maka tidak salah sekiranya kerajaan membenarkan mereka mengusahakan kawasan yang mereka tinggalkan itu asalkan aktiviti penanaman atau ternakan dilakukan satu kilometer dari zon bahaya iaitu kawasan loji (plant area)," katanya kepada Bernama selepas merasmikan jeti awam terapung dan kawasan menunggu di Tasik Balui, Empangan Bakun di sini baru-baru ini.

Jeti awam terapung dan kawasan menunggu bernilai kira-kira RM800,000 itu adalah satu daripada pengisian program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sarawak Hidro.

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Penduduk Asal Tasik Balui Belaga (BLNA) Tony Kulleh memohon agar kerajaan membenarkan mereka mengusahakan tanah di Hulu Balui yang merupakan Tanah Rizab Orang Asal memandangkan tanah ganti seluas 1.2 hektar yang diberi kepada setiap keluarga tidak mencukupi.

"Tanah yang diberi di Sungai Asap sekarang ini, baru generasi pertama yang usahakan tetapi itu pun tidak mencukupi lagi-lagi untuk generasi akan datang... kalau nak tanam kelapa sawit pun, ia tidak dapat tampung keperluan satu keluarga.

"Maka atas sebab itu, kami mahukan kawasan-kawasan lama yang ditinggalkan disukat dan diberi hak milik supaya dapat diusahakan untuk pendapatan tambahan," katanya.

Kulleh berkata maklum balas daripada Masing itu satu berita baik bagi penduduk di Sungai Asap dan berharap ia akan menjadi kenyataan.

- Bernama