'Pembangkang tak hasrat cari kebenaran derma RM2.6b'
Seorang ahli parlimen Umno mendakwa bahawa pembangkang tidak berminat mendapatkan penjelasan berhubung isu wang RM2.6 bilion yang berada di akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Ahli Parlimen Sekijang, Annuar Marap, pembangkang hanya mahu memanipulasi perkara itu bagi tujuan agenda politik mereka khususnya menyerang Najib.
Katanya, pembangkang sebenarnya tidak berhasrat sama sekali untuk mencari kebenaran kerana sifat mereka yang hidup atas politik fitnah dan dakwaan membabi buta.
“Apa jua penjelasan atau kebenaran sesuatu itu tidak akan terima. Pembangkang amalkan taktik alih tiang gol.
“Sebab itu apabila Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir memberi pengesahan derma RM2.6 bilion sememangnya datang daripada negaranya pembangkang pula mengalih dakwaan pula dengan mempersoalkan sama ada Najib kini menjadi pak turut kepada negara Arab Saudi.
“Sedangkan sebelum ini pembangkang bukan main lagi meminta penjelasan dan bukti apakah benar wang tersebut derma dari negara Arab Saudi.
“Bila telah dibuktikan mereka tidak terima sebaliknya membangkit persoalan atau dakwaan yang lain pula. Inilah gaya politik pembangkang yang hidup atas politik putar belit,” katanya kepada Umno-Online .
Annuar berkata beliau yakin rakyat boleh melihat bagaimana pembangkang memanipulasikan isu ‘derma’ itu walaupun semua soalan-soalan mereka berhubung perkara itu telah dijawab.
“Percayalah mereka bukannya mahukan jawapan tetapi sekadar ingin menimbulkan persepsi.
“Persepsi itulah yang akan mereka main dalam ceramah dan akan terus menerus melontarkan pelbagai perkara baru yang akan direkacipta kelak,” katanya.
Dana RM2.6 bilion disalurkan ke akaun bank peribadi Najib sebelum pilihan raya umum lalu pada Mei, 2013.
Perdana Menteri telah berulang kali menafikan beliau menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi dan menyifatkan wang berkenaan sebagai derma politik.
Beliau juga mempersalahkan pihak yang berkomplot cuba menggulingkannya dengan mengaitkannya dengan gejala rasuah.

