TNB terus ditekan beri diskaun, tangguh GST
Selepas aduan kenaikan bil mendadak akibat cuaca panas El Nino, TNB dituntut memberikan diskaun dan menangguhkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terhadap bil elektrik.
Anggota parlimen Segambut Lim Lip Eng ( gambar ) mencadangkan diskaun kepada pengguna selepas takat kegunaan tertentu bagi meringankan beban orang ramai serta industri kecil dan sederhana.
Katanya, kumpulan ini bergantung kepada sistem pendingin hawa dalam urusan perniagaan dan kehidupan sehari-sehari.
“TNB sebagai satu-satunya pembekal tenaga elektrik, tidak mempunyai pesaing dan mampu memberi keringanan kepada pengguna setelah bertahun-tahun ia mengaut untung berbilion ringgit,” katanya.
Lim juga mendesak penangguhan GST ketika musibah musim panas melampau ini.
“Caj GST ke atas bil elektrik sangat membebankan rakyat yang sudah sedia terbeban dengan peningkatan kos sara hidup,” katanya.
TNB sekarang berdepan tekanan orang ramai yang mendakwa berlaku kenaikan mendadak walaupun penggunaan elektrik mereka sama.
Pemuda Umno dan NGO turut mendesak rebat ke atas penggunaan dan GST kerana membebankan pengguna.
TNB Careline dalam catatan di Facebook mendakwa cuaca panas terik berpanjangan mempengaruhi tabiat penggunaan peralatan elektrik.

