Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perlis: Air empangan kritikal, bekalan mampu bertahan sebulan
Diterbitkan:  Apr 23, 2016 6:21 AM
Dikemaskini: 11:05 PM

Paras air di Empangan Timah Tasoh masih berada pada tahap kritikal 26.21 meter iaitu sebanyak 29.75 peratus, menyusut 0.02 meter hari ini.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis Abdul Najib Abdullah berkata paras air kembali menyusut selepas mencatatkan kenaikan 26.23 meter Rabu lepas.

“Bacaan ini berada pada tahap membimbangkan kerana masih jauh dari paras normal iaitu 29.1 meter.

“Walau bagaimanapun, air untuk kegunaan domestik masih mencukupi sehingga sebulan lagi jika keadaan panas tanpa hujan ini berterusan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Perlis (SAP), Abd Hamid Sahid berkata pihaknya masih meneruskan catuan air namun pengeluaran terpaksa dikurangkan.

“Pengeluaran terpaksa dikurangkan menyebabkan beberapa kawasan tidak dapat dielakkan untuk menerima bekalan air berjadual.

“SAP bertanggungjawab dalam mengagihkan bekalan air bersih tersebut secara adil dan menyeluruh kepada semua penduduk yang terlibat,” katanya.

Pengarah Jabatan Meteorologi Perlis, Muhammad Khalil Ab Jalil pula berkata suhu semasa di negeri ini setakat 3.50 petang tadi mencatatkan kenaikan bacaan iaitu 37.2 darjah celsius berbanding 37 darjah celsius semalam.

Sementara itu, hanya Stesen Meteorologi Chuping di Perlis yang mencatatkan bacaan suhu melebihi 37 darjah Celsius semalam berikutan cuaca panas akibat fenomena El Nino ketika ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dalam satu kenyataan berkata sehingga jam 4 petang semalam Stesen Meteorologi Chuping di Perlis itu mencatatkan bacaan suhu 37.2 darjah Celsius.

Beliau berkata tiga kawasan mencatatkan bilangan hari tanpa hujan melebihi 10 hari sehingga semalam ialah masing-masing 19 hari di Kota Baharu dan Machang, Kelantan serta 11 hari di Kudat, Sabah.

"Klang dan Kuala Selangor, Selangor; Kota Tinggi, Johor; Rompin, Pahang serta Kota Kinabalu, Sabah mencatatkan bilangan hari tanpa hujan selama tujuh hingga sembilan hari," katanya.

Madius berkata operasi pembenihan awan hari ini juga diadakan di beberapa kawasan.

"Operasi tersebut berjaya menghasilkan hujan di kawasan tadahan Bukit Larut, Perak; empangan Bukit Merah dan Air Kuning, Perak; empangan Sepri, Negeri Sembilan dan empangan Durian Tunggal, Melaka," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS