PM Pakistan minta mahkamah siasat Panama Papers tentang kewangannya
Perdana Menteri Pakistan berkata pada hari Jumaat beliau akan meminta Mahkamah Agung menjalankan siasatan terhadap pendedahan mengenai kewangannya yang dibuat dalam Panama Papers yang bocor.
Nawaz Sharif telah pun menubuhkan sebuah suruhanjaya yang dijanjikan akan membersihkannya daripada tuduhan itu, berdasarkan kepada dokumen yang bocor dari sebuah firma guaman Panama, bahawa sebuah syarikat luar pesisir yang diterajui anggota keluarganya telah mengelakkan membayar cukai atau menyembunyikan aset.
Tetapi pemimpin pembangkang termasuk Imran Khan, berkata badan seumpama itu, yang diketuai oleh seorang hakim yang telah bersara, tidak boleh dipercayai atau cukup bebas.
Nawaz berkata beliau telah memutuskan untuk menulis surat kepada Ketua Hakim Mahkamah Agung supaya melantik sebuah suruhanjaya untuk menyiasat perkara itu.
Nawaz menegaskan demikian dalam satu ucapan di televisyen.
Awal bulan ini, dokumen yang bocor dari firma guaman Mossack Fonseca di Panama menunjukkan anak Sharif Hassan dan Hussain dan anak perempuannya Maryam memiliki sekurang-kurangnya tiga syarikat luar pesisir yang berdaftar di Kepulauan British Virgin.
Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ), yang mengkaji kertas itu, berkata syarikat-syarikat itu terlibat dalam urusan pengambilan dan hartanah bernilai AS$25 juta. Mossack Fonseca menafikan sebarang salah laku, sepertimana juga Sharif.
Sharif dan keluarganya telah berulang kali menafikan sebarang salah laku, dengan mengatakan bahawa aset itu elah diperolehi secara sah melalui rangkaian perniagaan dan industri keluarga mereka di Pakistan, Arab Saudi dan di tempat lain.
Musuh-musuh politik bagaimanapun, telah mendakwa bahawa aset-aset tersebut diperolehi secara rasuah semasa dua tempoh pentadbiran Nawaz sebelum ini sebagai perdana menteri pada tahun 1990-an.
Khan dijadual akan berucap di perhimpunan di ibu negara Islamabad pada hari Ahad, di mana beliau dijangka mengumumkan pelancaran gerakan protes terhadap perdana menteri dan kerajaannya sebagai reaksi kepada pendedahan Kertas Panama.
Sharif mengambil nada agresif dalam ucapannya di televisyen pada hari Jumaat, dengan berulang kali menuduh musuh-musuh politiknya mengambil kesempatan untuk protes bagi membuat tuduhan terhadapnya.
"Jika tiada apa yang terbukti terhadap saya, maka mereka yang membuat tuduhan palsu setiap hari, jadi adakah mereka akan meminta maaf kepada negara?" katanya ketika mengakhir ucapannya. [Baca berita penuh]
- Reuters

