Hakim kes Likas perlu dedahkan nama pemanggil: Rais
Hakim yang membatalkan kemenangan kerusi Likas, Sabah kerana wujud "pengundi hantu" dalam daftar pemilih digesa mendedahkan nama pemanggil telefon yang mengarahkan kes itu digugurkan.
Datuk Muhammad Kamil Awang, yang mendengar petisyen pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) itu yang dimenangi calon Barisan Nasional pada Mac 1999, menyebutkan gangguan telefon itu dalam keputusannya Jumaat lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rais Yatim berkata Muhammad Kamil perlu berbuat demikian kerana tindakan pemanggil itu boleh memberikan kesan negatif kepada institusi kehakiman.
"Beliau tidak boleh setakat hanya berkata ada panggilan telefon dibuat meminta kes itu digugurkan tanpa mendedahkan siapa pemanggil itu," kata Rais kepada agensi berita nasional Bernama hari ini.
Dalam keputusan bertulis setebal 28 halaman dalam Bahasa Inggeris, hakim itu menyebutkan: "Pada pandangan saya, sungguh terhina kebijaksanaan seseorang apabila diberikan arahan melalui telefon agar petisyen ini digugurkan tanpa perlu dibicarakan, dan lebih penting daripada itu, dengan kesedaran yang sangat jelas saya mendengar (dan menghakimi) petisyen ini."
"Allah telah memberikan saya kekuatan dan kecekalan... untuk bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih, kerana (saya) berpegang kepada sumpah kehakiman dan bimbang mengorbankan keadilan, dan benar-benar menjadi seorang hakim dan bukannya 'pak turut,'" kertas penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu dipetik.
Kerusi Likas dimenangi calon BN Yong Teck Lee, bekas Ketua Menteri, dan keputusan pilihanraya itu dicabar oleh dua lagi calon yang tewas, ahli politik veteran Datuk Mohd Harris Salleh dari Parti Bersekutu dan Dr Chong Eng Leong (Parti Bersatu Sabah).
Kad pengenalan palsu
Sementara itu, menurut agensi berita yang sama, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata "kerajaan sukar mencampuri urusan kehakiman kerana ia sebuah badan bebas."
"Ia sangat sukar bagi kami, ia adalah perkara yang sangat sensitif, hakim-hakim sangat mengutamakan tentang kebebasan mereka sehingga kadang-kadang mereka melangkah batasan-batasan tertentu," katanya hari ini, seperti dipetik Bernama , apabila diminta mengulas pendedahan hakim tersebut.
"Saya tidak faham, saya tidak memberikan sebarang arahan, saya tidak tahu mungkin orang lain yang memberikan arahan... mungkin sesetengah orang dari mahkamah yang sama mungkin boleh beri arahan, saya tidak tahu."
Hakim Muhammad Kamil juga berkata daftar pemilih itu tidak sah akibat wujud senarai pengundi yang bukan warganegara Malaysia dan mereka mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan kad pengenalan palsu.
"Contoh-contoh wujudnya pemilih yang bukan warganegara dan pengundi hantu dalam daftar pemilih (SPR) seperti disebutkan dalam perbicaraan ini mungkin hanya sebilangan kecil daripada kes yang lebih besar (the tip of the iceberg)," katanya.
Beliau juga berhujah pemegang kad pengenalan bukannya bukti seseorang itu warganegara. Bagaimanapun menurut undang-undang pilihanraya, pengundi mestilah seorang warganegara.
"Nampaknya SPR menganggap memiliki kad pengenalan (biru) sebagai warganegara dan seseorang yang menunjukkan kad pengenalan biru didaftarkan sebagai pemilih," kata Muhammad Kamil.
Hakim itu juga mempertikaikan sikap SPR yang tidak menyegerakan siasatan terhadap dakwaan wujudnya pengundi-pengundi tidak sah itu.
"Nampaknya SPR secara sengaja dan dengan pengetahuannya menghalang siasatan awam. Tiada siapa mengetahui sebab (SPR) berbuat begitu, ia hanya diketahui oleh SPR," katanya lagi.
Kegagalan SPR
"Jelas sekali ketiadaan tindakan (sewajarnya) daripada SPR untuk menubuhkan siasatan awam walau wujud aduan (tentang pengundi hantu) tidak boleh diterima."
"Kegagalan SPR untuk mengekalkan daftar pemilih (yang bersih) seperti diperuntukkan undang-undang menyebabkan daftar pemilih itu tidak sah. Itulah yang terjadi pada daftar pemilih 1998 bagi kawasan Likas."
Muhammad Kamil juga menegur polis yang tidak menjalankan siasatan apabila satu aduan dibuat Setiausaha Agung PBS Radin Malleh, yang pernah bertugas 20 tahun dengan pasukan itu, berhubung kewujudan pengundi hantu.
Radin juga menulis surat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tetapi tiada jawapan diterima. Aduan itu berhubung kes beberapa pegawai JPN ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terlibat memberikan kad pengenalan biru yang palsu kepada pendatang tanpa izin.
Operasi itu bagi mendaftarkan pendatang asing dikenali Ops Gemilang atau "Projek Mahathir". Menurut kertas penghakiman itu, projek itu adalah usaha menjual kad pengenalan palsu dengan harga RM300 kepada pendatang tanpa izin.
Dalam perbicaraan itu, Radin juga berkata sebagai anggota Dewan Rakyat, beliau telah cuba membangkitkan isu itu di Parlimen. Bagaimanapun usahanya itu ditolak di bawah Peraturan Mesyuarat 23 (1) (f) dengan dakwaan isu itu "perkara rahsia" yang tidak boleh didedahkan oleh kerajaan.
Bagaimanapun, hakim itu menafikan sebarang "pakatan sulit peringkat tertinggi" antara kerajaan dengan BN seperti didakwa.
"Tiada satu bukti menunjukkan wujud perjanjian antara Perdana Menteri atau menteri lain dengan BN Sabah mengenai pendaftaran mereka yang tidak layak untuk dimasukkan dalam daftar pemilih."

