Tolak politik fitnah, serangan peribadi pembangkang - KJ
Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin Abu Bakar menasihati pengundi muda di Sarawak supaya menolak politik agresif, fitnah dan serangan peribadi dari pihak pembangkang pada pilihan raya negeri Sarawak.
Katanya, budaya yang dibawa pembangkang itu juga tidak disukai oleh rakyat Sarawak.
“Di Sarawak ini kita sentiasa diberi nasihat oleh pemimpin setempat bahawa politik agresif, politik hasutan, politik serangan peribadi tidak disukai oleh orang Sarawak.
“Kita juga minta orang muda tolak budaya politik ini. Budaya politik ini agak sinonim dengan parti politik tertentu, bukan dari BN tapi parti tertentu, di mana pentas ceramah mereka sarat dengan hasutan, fitnah dan juga serangan peribadi dan ia tidak dialu-alukan di Sarawak,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas mengenai serangan peribadi dan fitnah yang dimaksudkannya.
BN, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjadi sasaran pembangkang yang membidasnya kerana terpalit dengan skandal 1MDB dan wang RM2.6 bilion yang berada di akaun bank peribadinya sebelum pilihan raya umum lalu pada Mei, 2013.
Perdana Menteri telah berulang kali menafikan beliau menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi dan menyifatkan wang berkenaan sebagai derma politik.
Beliau juga mempersalahkan pihak yang berkomplot cuba menggulingkannya dengan mengaitkannya dengan gejala rasuah.
Rabu lalu, Tan Sri Adenan Satem selaku Pengerusi BN Sarawak mencabar pembangkang berdepan dengan BN atas isu-isu mengenai rakyat Sarawak, dan tidak membangkitkan skandal kewangan 1MDB dan isu nasional yang lain.
Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno pada sidang media selepas merasmikan Bilik Gerakan Pemuda di Kuching hari ini, turut berharap supaya pengundi muda di negeri itu terus memberikan mandat kepada penyandang Adenan untuk berkhidmat kepada rakyat Sarawak.
“Dalam dua tahun Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem) tunjuk kepimpinan yang baik dan banyak lagi tugas yang belum selesai dan orang muda harus bagi mandat peribadi kepada Tok Nan untuk teruskan perancangan, terutamanya kepada orang muda dalam meringankan kos sara hidup, isu pekerjaan, perumahan dan sebagainya.
“Saya fikir dia adalah ketua menteri yang menjaga orang muda di Sarawak,” katanya.

