P'RAYA S'WAK | Walaupun ada pihak yang meramalkan bahawa Pakatan Harapan berdepan dengan masalah yang serius berikutan pertembungan antara calon PKR dan DAP selepas proses pencalonan bagi pilihan raya Sarawak ditutup semalam, tetapi seorang penganalisis berkata, ini boleh menjadi strategi dua parti itu bagi memecahkan lebih banyak undi kepada calon BN.

Khususnya, penganalisis politik Ahmad Atory Hussain merujuk kepada lima kerusi luar bandar majoriti Dayak - Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong - di mana calon PKR dan DAP bertembung dalam pelbagai penjuru dengan BN.

"Sudah tentu, setiap pihak mempunyai ego sendiri dan mereka semua fikir calon-calon mereka boleh menang. Tetapi saya melihat mereka (PKR dan DAP) sebagai pemecah undi (kapada calon BN)," kata Atory kepada Malaysiakini.

Ia adalah salah satu cara untuk tidak memberi kemenangan mudah kepada BN, katanya, dengan mengaitkan senario populariti Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, berbanding dengan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai ketua menteri semasa pilihan raya negeri pada 2011.

"Adenan telah menangani banyak juga isu-isu tempatan di Sarawak. Ia akan menjadi agak sukar untuk calon-calon Pakatan Harapan berdepan dengan BN berdasarkan isu-isu tempatan," katanya.

Antara lain, Atory memetik langkah Adenan terhadap pembalakan haram di beberapa kawasan luar bandar sebagai salah satu daripada perkara yang beliau telah ditangani.

Pengendalian BN terhadap isu-isu tempatan, hujahnya, adalah sebab untuk pemimpin Pakatan Harapan dari Semenanjung berkempen mengenai isu-isu nasional, seperti isu 1MDB, dan bagi Adenan melarang mereka memasuki negeri itu sehingga selepas pilihan raya negeri selesai.

Adenan juga telah mencabar parti-parti pembangkang, terutamanya DAP, untuk berdepan dengan BN hanya atas isu-isu Sarawak.

Pada masa yang sama, Atory berkata, strategi Pakatan Harapan itu mungkin memakan diri sekiranya gabungan itu hanya memecahkan undi di kalangan penyokong mereka sendiri tetapi gagal untuk mengurangkan majoriti diperolehi calon BN.

Impak kecil di peringkat pusat

Dengan mengambil kira bahawa terdapat pertembungan minimum antara PKR, DAP dan PAS ketika parti-parti itu menganggotai Pakatan semasa pilihan raya umum lalu, Atory berkata beliau percaya situasi di Sarawak hari ini tidak akan memberi banyak kesan terhadap hubungan pembangkang di peringkat pusat.

"Pertembungan itu telah dijangka dalam keadaan sekarang (di Sarawak).

"Mungkin ada perbezaan pendapat di antara mereka (PKR dan DAP) di negeri ini, tetapi saya percaya ini tidak akan menjejaskan hubungan di peringkat persekutuan," katanya.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata semalam bahawa beliau diberi mandat oleh presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk "menyelesaikan" pertindihan tuntutan kerusi itu.

Azmin kemudian mengarahkan pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian untuk mengeluarkan surat kebenaran kepada lima calon parti itu untuk bertanding.

Selain daripada lima kerusi luar bandar itu, PKR dan DAP juga bertembung dalam pertandingan lima penjuru di Batu Kitang - kerusi majoriti Cina bandar di Kuching.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata parti itu bertanding di Batu Kitang sebagai tindak balas terhadap keputusan PKR untuk mengingkari perjanjian bahawa DAP akan bertanding di lima lagi kerusi.

[Baca berita penuh]