DAP mengumumkan bahawa parti itu bersedia untuk ‘berundur’ daripada kempen di Batu Kitang jika PKR melakukan perkara sama di baki lima lagi kerusi yang menyaksikan pertembungan kedua-dua parti itu pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 ini.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata ini adalah di sebalik nama-nama calon sudah tercetak pada kertas undi selepas proses penamaan calon semalam.

"Calon PKR mesti umumkan secara terbuka bahawa mereka tidak akan berkempen walaupun nama mereka muncul di kertas undi.

"Jika mereka boleh lakukan ini, maka kita akan mengarahkan calon kita di Batu Kitang untuk lakukan perkara sama," katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur.

Selain daripada kerusi majoriti masyarakat Cina di Batu Kitang, kedua-dua sekutu Pakatan Harapan itu akan bertembung di lima kerusi luar bandar yang terdiri daripada majoriti Dayak - Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong.

Di Batu Kitang, calon DAP Abdul Aziz Isa dalam pertarungan lima penjuru dengan calon PKR Voon Shiak Ni, Lo Khere Chiang (SUPP-BN), Othman Bojeng (Bebas) dan Sulaiman Kadir (Bebas).

[Baca berita penuh]