BN tiada hak untuk menggesa pengundi Cina untuk kembali menyokong parti itu ketika mereka terus ditindas, kata calon DAP bagi kerusi DUN Piasau, Dr Ting Tiong Choon.

Di sebalik dakwaan terdesak bahawa masyarakat Cina akan dipinggirkan kerajaan jika mereka terus mengundi pembangkang, katanya, pengundi kaum itu telah dilayan seperti warganegara kelas kedua semenjak mereka dilahirkan.

"Ini terbukti oleh statistik Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang menunjukkan sejumlah 7,828 rakyat Malaysia melepaskan kewarganegaraan mereka untuk berhijrah ke Singapura.

"Daripada jumlah itu, 96.7 peratus adalah masyarakat Cina, dan ia tidak termasuk mereka yang berhijrah tetapi tidak memaklumkan kepada SPR," katanya semasa sidang akhbar di Miri, hari ini.

Justeru, beliau mencabar Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menghapuskan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan persekutuan sebelum pilihanraya negeri Sarawak pada 7 Mei ini.

Mengulas lanjut, daripada berusaha untuk memujuk rakyat Malaysia pulang ke negara ini, adalah lebih baik untuk memperbaiki hubungan baik antara kaum dan memastikan semua dilayan secara saksama.

“Kalau tidak, apa asas calon BN untuk menggesa pengundi BN untuk kembali ke pangkuan mereka, dan menyokong BN yang menindas kaum Cina,” jelasnya.