Malangnya, kesilapan ini milik bersama
ULASAN Kegagalan DAP dan PKR untuk menyelesaikan isu pertindihan kerusi yang ditandingi sebelum hari penamaan calon di Sarawak amat dikesali.
Malah usaha menuding jari dan mencari punca kesilapan yang berlaku selepas itu juga amat dikesali.
Malangnya, kesilapan ini milik kita bersama. Ia bukan salah satu pihak sahaja. Kedua-dua pihak sama-sama gagal untuk mencapai kata putus yang boleh diterima pihak yang satu lagi.
Ini bukanlah satu langkah ke belakang buat DAP atau PKR, tetapi ia juga satu langkah ke belakang buat Pakatan Harapan dan rakyat Malaysia yang menyokong kita.
Bagaimanapun, janganlah kita terus berdukacita lalu menghalang usaha untuk mencapai kejayaan.
Tetapi kita hendaklah memastikan masa depan yang lebih cerah dan memastikan kesemua rakan politik berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.
Kita mesti memperjelaskan apa yang sebenarnya telah berlaku.
(1) Nota yang “ditandatangani”
Selepas pertemuan bersama Lim Guan Eng pada 7 April untuk membincangkan isu kerusi, beliau mencadangkan kepada Azmin Ali dan Nurul Izzah Anwar agar sehelai nota yang ditulis tangan mengandungi senarai kerusi ditandatangani, tetapi Azmin dan Nurul Izzah tidak bersetuju dengan perkara ini.
Lim terus memujuk mereka untuk berbuat demikian dan akhirnya hanya Azmin yang bersetuju menandatangani - yakni “secara prinsip bersetuju” - dengan pemahaman bahawa keputusan ini belum lagi muktamad.
Persefahaman antara Lim, Azmin dan Nurul Izzah mengenai mesyuarat itu ialah ia bukan mesyuarat muktamad kerana perbincangan akan diteruskan walaupun nota tersebut telah ditandatangani.
Ini mengambil kira walaupun sekiranya perbincangan berterusan sehingga sebelum hari penamaan calon jika perlu.
(2) Mesyuarat Majlis Presiden
Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan diadakan pada 11 April. Sebelum mesyuarat tersebut, PKR dan DAP masih gagal mencapai kata putus berkenaan lima kerusi, tetapi bersetuju untuk menyelesaikan isu ini dalam rundingan pusingan berikutnya dan berusaha ke arah pertandingan satu lawan satu dengan BN.
Maka, Majlis Presiden mengumumkan bahawa PKR dan DAP telah bersetuju dengan prinsip pertandingan satu lawan satu.
Apabila wakil Parti Amanah Negara (AMANAH) bertanya tentang kerusi-kerusi yang dipersetujui, Lim berkata perkara itu tidak perlu dibentang kerana pihak PKR dan DAP akan menyelesaikan isu tersebut secara terus.
Dengan itu DAP memberi isyarat kesediaan meneruskan perbincangan. PKR dan DAP sepatutnya meneruskan rundingan walaupun selepas 11 April. Perkara 5.5 Persetujuan Pakatan Harapan amatlah jelas, bahawa:
“Sebarang pengumuman muktamad mengenai parti yang bertanding di mana-mana kerusi di mana-mana peringkat hanya dibuat oleh Majlis Presiden dan setiap parti tidak boleh membuat pengumuman bertanding di sesuatu kerusi di mana-mana peringkat tanpa persetujuan Majlis Presiden.”
(3) Mandat watikah calon
Presiden PKR Dr Wan Azizah telah memberikan mandat bertulis kepada Azmin pada 22 April untuk menghormati autonomi negeri dan memberi mandat kepada Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian untuk menyelesaikan kesemua perkara, contohnya rundingan kerusi dan keputusan mengenai calon.
Baru Bian pada 22 April mengumumkan hanya 35 kerusi dan bukannya 42 kerana lima kerusi masih lagi dalam proses rundingan bersama DAP dan dua lagi belum ditentukan calonnya.
Ini menunjukkan PKR masih berharap DAP akan meneruskan rundingan untuk mengelak pertandingan tiga penjuru.
(3) Keputusan tiga penjuru
Mesyuarat Biro Politik PKR yang lalu telah meletakkan keutamaan kepada proses rundingan kerusi, tetapi parti bersedia untuk pertandingan tiga penjuru sekiranya proses rundingan tersebut gagal.
Azmin terus menghubungi Lim dan mencadangkan penyelesaian pertindihan lima kerusi dengan tiga diserah kepada PKR manakala dua lagi kepada DAP untuk mengelak pertandingan tiga penjuru.
Akan tetapi Lim enggan mempertimbangkan sebarang jalan penyelesaian secara baik untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru.
(5) BN musuh utama
Kegagalan proses rundingan PKR dan DAP amat dikesali. Malah perbalahan yang berlaku selepas itu juga dikesali.
Bagaimanapun, kita kini perlu bersatu hati dan bersama menghadapi musuh utama masa depan Malaysia, iaitu BN.
Kita mesti hormati prinsip asas pertandingan satu lawan satu seperti disahkan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dinyatakan dalam Perkara 5.5 Perjanjian Pakatan Harapan.
Hari penamaan calon pilihan raya negeri Sarawak 2016 akan terpahat sebagai hari untuk mengingatkan kita agar bermuhasabah diri dan terus istiqamah dalam usaha berkhidmat demi rakyat.
(6) Masih tak lewat untuk pertandingan satu lawan satu
Saudara Anwar Ibrahim telah menggesa DAP dan PKR supaya jangan berhenti berbincang. Kita masih mempunyai peluang sebelum hari mengundi untuk memenuhi harapan rakyat supaya hanya ada pertandingan satu lawan satu dengan BN.
Kita sentiasa bersedia untuk duduk berbincang, dan bersedia untuk terus memberi peluang kepada usaha ini, dalam semangat yang saksama, saling memberi dan menerima, demi matlamat yang lebih agung: reformasi di peringkat negeri dan nasional.
Adakah rakan-rakan seperjuangan kita bersedia melakukan perkara sama?
DR MANSOR OTHMAN anggota Biro Politik PKR merangkap pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pulau Pinang.

