Tak kan luntur semangat Hisham
rencana
Sekitar tahun 1980-an, saya terjumpa surat yang dikirim untuk abang. Antara lain bahasanya bersifat mahu menanam semangat perjuangan dalam diri abang - waktu itu dia masih mentah dan belum menjejakkan kaki di sekolah menengah.Bapa saudara kami, Hishamuddin Rais, ketika itu hidup terbuang di rantau orang melarikan diri daripada ditahan polis kerana bersuara lantang dan bersemangat muda. Beliaulah pengirim surat itu dan saya sendiri tidak tahu dari mana asalnya. Surat itu memberikan kesan begitu mendalam terhadap saya walaupun ia mungkin tidak memberi sebarang hentakan semangat kepada abang.
rencana
Sekitar tahun 1980-an, saya terjumpa surat yang dikirim untuk abang. Antara lain bahasanya bersifat mahu menanam semangat perjuangan dalam diri abang - waktu itu dia masih mentah dan belum menjejakkan kaki di sekolah menengah.Bapa saudara kami, Hishamuddin Rais, ketika itu hidup terbuang di rantau orang melarikan diri daripada ditahan polis kerana bersuara lantang dan bersemangat muda. Beliaulah pengirim surat itu dan saya sendiri tidak tahu dari mana asalnya. Surat itu memberikan kesan begitu mendalam terhadap saya walaupun ia mungkin tidak memberi sebarang hentakan semangat kepada abang.
Bapa saudara itu tidak pernah saya kenali kecuali selepas kepulangannya pada 1994. Beliau memang seorang yang kental semangatnya. Kami pernah berbual melalui telefon sebelum kepulangannya. Beliau, seperti juga ketika menulis untuk abang, masih lagi ingin meniupkan, walau sedikit, semangat perjuangan yang ada dalam dirinya.
Kepulangannya memberikan peluang kepada saya mendekatinya. Sebelum itu, saya sendiri hairan dengan sejarah hidupnya. Ketika berkenalan, barulah saya cuba fahami watak sebenarnya, manusia bernama Hishamuddin Rais.
Tanpa sedikit gentar atau sedih, beliau begitu tabah menjejakkan kaki semula ke bumi yang pernah menjadikannya merempat selama 20 tahun di rantau orang. Pada hemat saya, hanya seorang yang kuat semangat dan gagah pendirian yang mampu melalui kehidupan sepertinya.
Hari demi hari selepas mendengar cerita demi cerita, pandangan dan telahan mentah saya semakin kuat terbukti. Saya memang beruntung. Selain sebagai teman pilihan yang akrab di kalangan ramai lagi anak saudaranya, saya juga mungkin satu-satunya insan dalam keluarga kami yang berpeluang mendengar sebahagian besar sejarah hidupnya.
Bukan seperti Al-Arqam
Lebih menguntungkan, apabila beliau membawa saya tinggal bersamanya selama lebih empat bulan selepas saya tamat persekolahan. Tempoh itu memang saya gunakan sepenuhnya untuk mendalami hati dan jiwa seorang aktivis.
Kini saya berada jauh dari bapa saudara yang disayangi. Tempoh pengajian yang tinggal hanya satu semester untuk dihabiskan, saya seperti tidak sabar-sabar bertemu dan berbual dengannya. Kali terakhir kami bertemu, ketika beliau sedang bersedih apabila rakan seperjuangannya dihina serta dihancurkan kerjaya politiknya oleh seorang pemerintah rakus.
Ditanya kenapa begitu bersedih, lantas beliau menjawab bahawa selama 20 tahun kehilangannya, beliau tidak pernah menduga semua rakannya turut hilang kerana rakan-rakanlah pembentuk semangat jati diri beliau. Rakan yang lemah pasti akan membuatkan kita lemah dan begitulah sebaliknya.
Hari demi hari kami berutus berita melalui e-mel dan beliau memang tidak pernah lupa menanamkan semangat juangnya dalam diri saya. Dan hari ini, ketika membaca berita beliau ditahan tanpa bicara, di bawah akta Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) saya menjadi sebak.
Beliau begitu dekat di hati. Saya menjadi amat sedih, apabila malaysiakini menyebutkan beliau tidak diketahui di mana.
Hati ini tergerak untuk menulis kisah ini setelah terbaca telahan bahawa tahanan ISA kali ini mungkin menerima nasib seperti ahli-ahli kumpulan Al-Arqam suatu ketika dulu. Saya amat mengenali bapa saudara saya itu dan saya bimbang mendedahkan dirinya yang sebenar.
Hishamuddin Rais bukanlah seorang bekas ahli Al-Arqam. Hati dan jiwa Hishamuddin bukanlah selembut jiwa seorang ahli Al-Arqam. Oleh itu janganlah semudah itu kita membuat telahan.
Mungkin kerajaan boleh memaksanya membuat pengakuan tetapi ia bukan satu jaminan untuk mengubah jiwa dan semangatnya daripada terus hidup bergelar aktivis menentang segala bentuk kepincangan dalam negara yang dicintainya ini. Beliau pernah berjanji untuk tidak meninggalkan Malaysia selepas kepulangannya kali ini kerana beliau mahu sisa hidupnya dihabiskan di tanah tumpah darahnya sendiri.
Cemuhan demi cemuhan
Saya tidak akan terkejut jika selepas beliau dibebaskan daripada tahanan ISA nanti, jiwa dan pendiriannya masih juga seperti dahulu. Ada mereka yang menulis, Hishamuddin memang kerap keluar dan masuk lokap kerana reformasi tetapi kurungan ISA bukanlah seperti berhimpit dengan penagih dadah di lokap balai polis Dang Wangi.
Memang benar kerana jika tahanan ISA itu seperti menahan seorang peserta demonstrasi maka sudah tentulah kumpulan Al-Arqam masih aktif bergerak dengan nama lamanya. Tetapi hati, jiwa dan kehidupan seorang tahanan ISA itu berbeza antara satu dengan lain. Bekas aktivis kumpulan itu, misalnya Zabidi Mohamad, mempunyai kerjaya, isteri dan kehidupan yang sentiasa menghantui perasaannya sepanjang ditahan.
Hishamuddin tidak punyai seorang isteri untuk dirindui atau kerjaya tetap untuk dijaga dan dihargai, malah harta yang paling berharga dalam hidupnya hanyalah dua beg pakaian dan sebuah kamera serta seekor kucing bernama Yadi yang entah hidup atau pun sudah lama mati.
(Kamera itu telah dicuri apabila pejabatnya digelidah oleh pihak berwajib pada 1998 - editor)
Keluarga kami juga tidak pernah tergugat dengan penahanan demi penahanan atau cemuhan demi cemuhan yang beliau terima sejak menjadi aktivis reformasi kerana Hishamuddin sudah mengalaminya sejak tahun 1973 lagi.
Hishamuddin dalam keluarga kami adalah seorang yang tabah. Hidupnya sejak dahulu sentiasa berlingkar dengan cabaran dan tekanan - sejak beliau menjejakkan kaki ke dalam perahu menyeberang Sungai Golok hinggalah akhbar menyiarkan berita penangkapan beliau di bawah akta ISA.
Oleh itu kita yang tertinggal di belakang tidak seharusnya mudah menyerah kalah dan berputus asa. Jika kita membuat sangkaan awal bahawa mereka akan lemah, maka kita terlebih dahulu meruntuhkan semangat perjuangan rakyat yang hanya terbina tiga tahun lalu.
Akta ISA hanya satu ruang untuk kerajaan menayangkan kepada dunia bahawa mereka mampu menahan rakyat tanpa perbicaraan. Dalam masa yang sama, ia juga pekung yang mendedahkan kegagalan kerajaan untuk mengubah pendirian seseorang pejuang. Tunggu dan lihatlah, masanya akan tiba.
ZULHAZRY MY sekarang sedang menuntut di luar negara

