Pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang memberi jaminan kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem bahawa beliau akan terus menerajui negeri itu untuk tempoh lima tahun akan datang.

Paling baik yang boleh dilakukan oleh pembangkang katanya, adalah untuk menafikan BN majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri.

Oleh itu, Lim gagal memahami sebab di sebalik ketua menteri yang mempunyai fikiran yang mencurigai dan syak wasangka.

Beliau merujuk kenyataan Adenan di Kuching, malam semalam yang menggesa pengundi supaya tidak mempercayai dakwaan pemimpin DAP bahawa pembangkang hanya berusaha untuk menghalang BN daripada mendapatkan majoriti dua pertiga pada pilihan raya negeri 7 Mei ini.

Sambil menyifatkan ia sebagai helah, ketua menteri itu memberi amaran sekiranya DAP yang bertanding dibanyak kerusi itu menang, maka Sarawak akan ditadbir oleh Malaysia Barat.

Walau bagaimanapun, Lim menyangkal dakwaan itu.

"Izinkan saya beri jaminan kepada Adenan bahawa apa yang saya katakan bukannya helah, tetapi kenyataan yang serius apa yang akan berlaku pada 7 Mei.

"DAP meletakkan calon di 31 kerusi, dan walaupun kita menang semua 31 kerusi (dan tidak ada sesiapa pun, khususnya daripada BN Sarawak, akan berkata ada kemungkinan perkara seperti ini boleh berlaku), Adenan masih akan mempunyai majoriti selesa sebagai Ketua Menteri Sarawak selama lima tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan media.

Jika penasihat politik dan pakar strategi menasihatkan Adenan bahawa beliau tidak lagi akan menjadi ketua menteri untuk lima tahun akan datang, Lim mencadangkan supaya beliau menggantikan individu-individu berkenaan.

"Atau adakah Adenan mahu saya memberi surat jaminan bahawa beliau akan menjadi ketua menteri Sarawak sekali lagi pada 7 Mei?" soalnya.

Selain daripada DAP, PKR akan bertanding di 40 kerusi, PAS 11 dan Parti Amanah Negara 13.

Terdapat 82 kerusi di Sarawak dan pada hari penamaan calon BN telah memenangi dua daripadanya tanpa bertanding manakala DAP dan PKR akan bertembung di enam kerusi selepas rundingan kedua-dua parti sekutu itu gagal.