Kira-kira 100,000 pekerja tanpa izin Indonesia yang tidak dibayar gaji, enggan pulang ke negara mereka walaupun akan terpaksa berdepan dengan gerakan memburu mereka mulai esok, kata Menteri Buruh dan Transmigrasi Indonesia, Fahmi Idris hari ini.

Menurutnya, sebahagian besar pendatang terbabit adalah mereka yang bekerja sebagai pembantu rumah manakala yang lainya dari sektor perladangan, pembinaan dan bekerja di kilang.

"Tidak dibayar gaji merupakan alasan utama mengapa pekerja enggan pulang walaupun diberi pengampunan," katanya dalam wawancara ekslusif dengan malaysiakini di Kuala Lumpur.

Dianggarkan terdapat kira-kira 300,000 pekerja tanpa izin Indonesia yang masih berada di Malaysia. Tempoh pengampunan untuk pendatang tanpa izin, akan berakhir tengah malam ini.

Tempoh pengampunan itu telah dilanjutkan sebanyak dua kali atas permintaan kerajaan Indonesia sejak Oktober tahun lalu.

Kerajaan Malaysia menganggarkan terdapat lebih 1 juta pekerja tanpa izin berada di negara ini sebahagian besarnya rakyat Indonesia. Yang lainnya adalah rakyat Filipina, Mynmar, Bangladesh, India dan Sri Lanka.

Kira-kira 400,000 pendatang tanpa izin telah pulang sejak tawaran pengampunan itu dibuat. Mereka yang masih berada di sini dan disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara dan dirotan sebelum dihantar pulang. Mereka juga akan disenaraihitam dan dilarang datang semula ke Malaysia.

Tindakan undang-undang

Sementara itu, Fahmi berkata tindakan undang-undang akan dimulakan terhadap majikan terbabit jika 'tiada tindakan serius' diambil oleh kerajaan Malaysia.

"Jika sehingga pertengahan (bulan depan) kami tidak melihat apa-apa tindakan muktamad diambil oleh kerajaan Malaysia, maka kami akan menerus tindakan undang-undang itu," tambahnya.

Katanya, para majikan akan disaman kerana tidak membayar gaji dan kerana menggaji pekerja tanpa izin.

"Kita maklum dengan status mereka sebagai pekerja tanpa izin. Tetapi jika ada majikan yang berfikir yang mereka boleh lari, kami akan menyaman mereka kerana menggaji pendatang tanpa izin.

"Jika mereka boleh lari bagi yang pertama (tidak bayar gaji), mereka pastinya tidak boleh lari bagi kesalahan kedua (menggaji pekerja tanpa izin)," katanya sambil menambah, semua tindakan undang-undang itu tidak akan membabitkan kerajaan Malaysia.

"Ianya adalah antara pekerja tanpa izin Indonesia dan syarikat terbabit. Ia tidak ada kena mengena dengan pihak kerajaan," tambahnya.

Awal bulan ini, Fahmi berkata, Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur telah mendapatkan rkhidmat lima peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang mengambil kesempatan daripada program pengampunan untuk mengelak membayar gaji pekerja mereka.

Bagaimanapun, tindakan tersebut ditarik balik selepas perjumpaan antara Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Di bawah Akta Imigresen 2002, majikan yang didapati bersalah menggaji pekerja tanpa izin, boleh dijatuhkan hukuman penjara dan dirotan.

"Kami menangguhkan dulu tindakan undang-undang itu kerana kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk menyelesaikan masalah tersebut," kata Fahmi.

Elak ditangkap

Bagaimanapun, katanya, terdapat pekerja tanpa izin Indonesia yang enggan pulang kerana mereka yakin dapat mengelak daripada ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia.

"Mereka memberitahu saya yang mereka boleh mengelak ditangkap sepertimana dalam gerakan-gerakan sebelum ini. Mereka sudah melaluinya sebelum ini," katanya.

Gerakan besar-besaran pernah dilancarkan pada tahun 2002 selepas tamat tempoh pengampunan selama empat bulan.

Mengikut Fahmi, wujud juga senario ketiga di mana majikan di sektor perladangan tidak membenarkan pekerja mereka pulang.

Beliau juga menggesa kerajaan Malaysia supaya memastikan tidak berlaku pelanggaran hak asasi manusia sewaktu gerakan memburu pendatang tanpa izin dilancarkan esok.

Badan-badan hak asasi manusia amat prihatin dan bimbang mengenai kemungkinan berlakunya penganiayaan terhadap pendatang tanpa izin sewaktu gerakan tersebut dilancarkan.

Sehubungan itu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah mengarahkan wakilnya di Malaysia supaya melindungi pelarian dan pencari suaka supaya mereka tidak ditahan dalam gerakan tersebut.