Sebuah persatuan Orang Asli membantah komposisi perwakilan ke persidangan untuk meminda Akta Orang Asli 1954 pertengahan bulan depan, yang didakwanya telah 'meminggirkan' suara masyarakat tersebut untuk menentukan masa depan mereka sendiri.

Ketua Penerangan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM), Norya Abas berkata, ini memperkuatkan lagi prasangka bahawa masyarakat Orang Asli telah "dipinggirkan".

Hanya 20 daripada 100 perwakilan ke persidangan tersebut dari kalangan Orang Asli. Daripada 14 kertas kerja yang akan dibentangkan, hanya tiga daripada pembentang Orang Asli.

"Ini tidak sepatutnya berlaku. Jika ini berterusan, maka ianya adalah tidak adil. (Ini bermakna) cadangan untuk meminda Akta itu dan rancangan untuk masa depan Orang Asli, akan ditentukan oleh orang lain. Ini bertentangan dengan hak Orang Asli untuk menyuarakan keperluan mereka," katanya.

Beliau menegaskan demikian ketika ditemui di seminar tiga hari mulai 25 Februari lalu di Negeri Sembilan untuk membincangkan cadangan meminda Akta Orang Asli.

Menurut dokumen yang diperolehi oleh malaysiakin i, wakil-wakil dari kementerian dan universiti, ketua-ketua jabatan dan timbalan mereka serta ahli Exco negeri, adalah antara perwakilan yang bukannya dari kalangan Orang Asli.

Persidangan tersebut dianjurkan oleh Jabatan Orang Asli (JHEOA), tetapi seorang pegawainya enggan mengulas lanjut perkara tersebut ketika dihubungi pagi ini.

"Kami telah diarahkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan. Hanya menteri (Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar) boleh bercakap mengenai isu tersebut," katanya.

Terpinggir

Seorang ahli POASM, Elwan Awang Itam Wali, yang mengetuai jawatankuasa eksekutif Kampung Tangki Cermin di Perak, juga menyifatkan komposisi perwakilan tersebut sebagai tidak adil, dan akan mengakibatkan masyarakat minoriti semakin terpinggir.

"Dari segi psikologi, ini tidak baik. Jika terdapat hanya 20 dari kalangan kami, maka peserta majoriti yang lain (80) dengan mudah boleh mengetepikan pandangan kami," katanya sambil menambah, sepatutnya wakil mereka yang lebih ramai.

Elwan, anak kepada bekas Senator Orang Asli Itam Wali Nawan, mencadangkan supaya 40 peratus perwakilan ke persidangan tersebut dari kalangan Orang Asli, walaupun jumlah pembentang kertas kerjanya tidak ditambah.

"Walaupun jika kami tidak mempunyai banyak kertas kerja untuk dibentangkan, tetapi sekurang-kurangnya kalangan kami yang sepatutnya lebih ramai. Dengan itu, pembentang kertas kerja akan lebih yakin untuk melakukannya," tambahnya.

Akta Orang Asli telah dilulus sewaktu zaman darurat (1948-1960) oleh penjajah British.

Akta tersebut telah lama dikritik kerana peruntukan yang digubal sewaktu zaman darurat dahulu, digunakan untuk menguruskan kira-kira 147,000 orang Orang Asli di negara ini.