PM: Adenan mampu laksana banyak lagi inisiatif jika dapat mandat besar
SARAWAK Tan Sri Adenan Satem telah melaksanakan banyak inisiatif sebagai Ketua Menteri Sarawak dalam tempoh dua tahun lepas dan mampu melakukan lebih lagi jika diberi mandat besar memimpin negeri ini untuk tempoh lima tahun akan datang, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata sejak memegang tampuk kepimpinan negeri ini pada Februari 2014, Adenan telah mengumumkan banyak dasar yang mesra rakyat dalam tempoh yang agak singkat.
"Tidak adil kalau dia (Adenan) diberi dua tahun sahaja. Rakyat mesti berikan dia lima tahun lagi (untuk terus melaksanakan banyak lagi inisiatif)," katanya ketika berucap pada program Sembang Santai di pekan Siburan, kira-kira 35km dari Kuching hari ini.
Beliau berkata antara dasar yang telah dilaksanakan oleh Adenan dalam tempoh dua tahun ini, termasuklah pemansuhan tol jalan raya dan cukai tanah pertanian serta perumahan yang telah memberikan impak besar kepada rakyat.
"Saya dan Tok Nan (Adenan) telah membuat aku janji untuk membawa lebih banyak lagi pembangunan untuk Sarawak," katanya.
Najib berkata perbalahan semakin ketara dalam kalangan parti menganggotai pakatan pembangkang pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini, seharusnya menjadi iktibar kepada rakyat untuk terus memilih Barisan Nasional (BN) memimpin Sarawak.
"Pada Januari lepas, DAP, PKR serta Amanah (Parti Amanah Negara) telah membuat aku janji untuk meletakkan satu calon sahaja (bagi setiap kawasan untuk menentang BN) tetapi hari ini, janji tinggal janji sahaja.
"Pembangkang sudah tidak bersatu hati sekarang dan bertembung sesama sendiri di enam kerusi. Mereka tidak ada kerjasama dan tidak mungkin dapat menubuhkan kerajaan yang stabil di Sarawak," katanya.
Di majlis itu, Najib sebagai pengerusi BN turut mengisytiharkan sokongan penuhnya kepada pencalonan Datuk Dr Jerip Susil sebagai calon langsung BN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong, yang sebelum ini dikenali sebagai DUN Bengoh.
Beliau berkata pencalonan Dr Jerip, berketurunan Bidayuh yang merupakan antara kumpulan minoriti di Malaysia, membuktikan BN mengamalkan prinsip inklusif untuk memberi peluang kepada semua kaum mengambil bahagian dalam pentadbiran negara.
Sementara itu, Najib berucap selepas melakukan tinjauan mesra di Sekolah Kebangsaan St Jude Bunan di Serian, berkata BN memerlukan mandat rakyat Sarawak dalam pilihan raya negeri akan datang untuk meneruskan agenda pembangunan yang masih belum selesai.
Turut hadir Anggota Parlimen Serian yang juga Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup, Martin Ben.
Perdana menteri berkata agenda itu tidak boleh diselesaikan dalam tempoh singkat, dan ia memerlukan perancangan rapi oleh kerajaan pusat dan negeri.
"Justeru, dalam pilihan raya Sarawak ini, penting bagi rakyat terus memberi sokongan kepada BN khususnya di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem bagi mendapatkan mandat dan meneruskan pembangunan.
"Sarawak akan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Semenanjung Malaysia. Oleh itu, saya komited untuk meluluskan pelbagai peruntukan dan melaksanakan projek pembangunan seperti Lebuhraya Pan Borneo dan sebagainya di Sarawak sebelum ini," katanya.
Najib menarik perhatian bahawa kerajaan komited dalam menunaikan janji agenda pembangunan yang digariskan, dan ia bukan janji kosong seperti yang ditawarkan pembangkang.
"Janganlah termakan dengan janji pembangkang. Rakyat tidak mahu janji kosong pembangkang. Janji mesti ditepati. Siapa boleh tepati?" soalnya sambil disambut jeritan 'BN' oleh orang ramai.
Najib turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk pembinaan bangunan baru Gereja St Jude di sebelah sekolah itu, selain peruntukan tambahan RM1 juta daripada kerajaan negeri.
"Inilah RM2 juta antara kerajaan pusat dan negeri melambangkan kerjasama yang erat BN. Saya percaya kita berlaku adil atas prinsip kebebasan beragama di negara ini.
"Kerajaan BN menghormati budaya dan agama setiap kaum di negara kita," katanya.
- Bernama

