Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dibenarkan memasuki Sarawak semalam.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil anggota parlimen Permatang Pauh itu mendarat di Lapangan Terbang Sibu malam tadi dan memulakan kempen membantu pembangkang menghadapi pilihan raya negeri 7 Mei ini.

Bagaimanapun tempoh kunjungan Wan Azizah di Sarawak dihadkan sehingga 5 Mei ini saja, sama seperti kelonggaran diberi kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Wan Azizah yang juga anggota ketua pembangkang di parlimen akan menghabiskan masa melawat beberapa kawasan DUN berhampiran Sibu sebelum kembali pada jam 6.45 petang.

Wan Azizah sebelum ini berada dalam senarai larangan Sarawak tetapi ketua menteri memberitahu beliau akan mempertimbangkan kelonggaran jika Wan Azizah meminta secara baik.

Sarawak yang mempunyai undang-undang imgresen sendiri biasanya membenarkan pelawat dari semenanjung berada di negeri itu selama 90 hari.

Bagaimanapun Sarawak berhak melarang atau mengehadkan tempoh keberadaan pelawat ke negeri itu.

Selain sejumlah tokoh pembangkang dua individu yang dikaitkan dengan Umno juga dilarang memasuki negeri itu baru-baru ini.

Menurut Adenan seseorang individu dilarang masuk kerana boleh mengancam keharmonian penduduk negeri berkenaan, tetapi pembangkang mendakwa ketua menteri Sarawak itu menghalang mereka menjalankan aktiviti politik yang dijamin perlembagaan.

[Baca berita asal]