Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis buka kertas siasatan kes ugut Gerakan
Diterbitkan:  May 1, 2016 4:38 PM
Dikemaskini: 8:50 AM

Polis telah membuka kertas siasatan berhubung sepucuk surat berbaur ugutan yang diletakkan di hadapan Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang di Jalan Macalister, George Town Isnin lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata berdasarkan cap pos di setem surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung Gerakan Datuk Liang Teck Meng, ia dihantar dari pejabat pos di Kota Kinabalu, Sabah.

Polis negeri bekerjasama dengan polis Kota Kinabalu bagi menyiasat motif surat itu dihantar dan mengesan pihak yang menghantarnya, katanya kepada pemberita selepas program kebajikan dan penyerahan cek RM10,000 oleh Persatuan Penunggang Motosikal Besar dari tiga negara di Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Cacat Yee Ran Jing Sheh di Taman Belimbing, di Bukit Mertajam hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 700 penunggang motosikal dan 20 buah kereta mewah dari Malaysia, Singapura dan Thailand turut berkonvoi membawa kanak-kanak rumah tersebut bagi memberi peluang mereka merasai sendiri menaiki kenderaan berkenaan.

Katanya surat itu turut mengandungi keratan akhbar berbahasa Cina berkaitan isu penjualan tanah Taman Manggis dan wang kertas palsu yang digunakan dalam upacara pembakaran untuk mereka yang telah meninggal dunia dalam masyarakat Cina.

"Biar pihak polis siasat dan saya harap mana-mana pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, surat berbaur ugutan itu dipercayai ada kaitan dengan tindakan agresif parti itu mendedahkan kontroversi penjualan tanah Taman Manggis dan pembelian banglo di bawah harga pasaran oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Sementara itu, Abdul Ghafar berkata polis sedang giat mengesan dua lelaki warga Indonesia yang meloloskan diri dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di Jalan Mount Erskine, George Town awal pagi 18 April lepas.

Dalam kejadian itu, dua lelaki Indonesia yang baru memecah masuk sebuah rumah di Pulau Tikus di sini ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di kawasan simpang tiga Jalan Mount Erskine manakala dua lagi rakan mereka melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.

- Bernama

Lihat Komen
ADS