Pegawai Rela mempunyai kuasa untuk memasuki premis persendirian seperti rumah dan melakukan pemeriksaan ke atas orang awam tanpa waran sepanjang gerakan memburu pendatang tanpa izin yang bermula hari ini.

Bagaimanapun, orang awam berhak meminta pegawai Rela menunjukkan 'kad kuasa' mereka sebelum membenarkan mereka melakukan sebarang pemeriksaan atau operasi tangkapan.

Ketika dihubungi hari ini, jurucakap polis yang mengendalikan operasi Rela itu dan mengetuai unit 'hotline' berkata daripada seramai 300,000 anggota Rela yang menyertai operasi tersebut yang dinamakan "Ops Tegas", hanya kira-kira 300 pegawainya yang mempunyai berbuat demikian.

"Pegawai-pegawai berkenaan mempunyai kuasa untuk memeriksa mana-mana individu atau kumpulan serta mempunyai kuasa untuk memberhenti dan memeriksa kenderaan awam dan persendirian," kata jurucakap tersebut.

Menurutnya, anggota Rela hanya boleh melakukan tugas mereka seperti memasuki tempat kediaman ketika pegawai-pegawai berkenaan hadir sama. Mereka ialah pengarah dan penolong pengarah Rela negeri dan di peringkat daerah.

Jurucakap itu berkata, anggota Rela mesti menunjukkan kad kuasa mereka bagi mengelak berlaku sebarang salahguna kuasa.

Kad kuasa tersebut, katanya, adalah kad sementara yang dikeluarkan oleh pihak polis kepada pihak berkuasa Rela sementara menunggu kad kuasa rasmi daripada kerajaan.

Ia memberi kuasa kepada pegawai Rela untuk menangkap pendatang tanpa izin tetapi mereka tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan.

Menyekat salahguna kuasa

"Apabila pendatang tanpa izin ditangkap, satu laporan polis akan dibuat dan ia kemudiannya akan dirujuk kepada (Jabatan) Imigresen," kata jurucakap tersebut.

Selain itu, jurucakap tersebut juga menjelaskan bahawa anggota Rela, sepertimana anggota polis, tidak mempunyai lesen untuk menembak sesuka hati, tetapi boleh berbuat demikian jika berdepan dengan bahaya atau diancam.

Bagaimanapun, badan-badan hak asasi manusia tidak bersetuju dengan perkara tersebut kerana ia boleh membahayakan keselamatan orang awam.

Pemangku Pengarah Amnesty International, Josef Roy Benedict berkata individu yang 'tidak terlatih' dengan penggunaan senjatapi boleh membahayakan orang awam.

Manakala Penyelaras Tenaganita (buruh asing), Aegile Fernandez turut mempersoalkan langkah kerajaan memberi kuasa penguatkuasaan dan meluluskan penggunaan senjatapi, kepada orang awam.

"Undang-undang yang ada digubal, hanya untuk polis dan pegawai imigresen membanteras jenayah. Mengapa dan bagaimana kuasa diberikan kepada orang biasa seperti anda dan saya untuk menangkap mereka (pendatang tanpa izin)?

"Mereka bukannya penjenayah, jadi mengapa mereka harus diburu dengan senjatapi? Tidakkah itu boleh dianggap sebagai penyalahgunaan kuasa?" tegasnya.

Kira-kira 500,000 anggota, termasuk 300,000 anggota Rela, 680 pegawai imigresen dan anggota Rukun Tetangga, terbabit dalam gerakan menangkap kira-kira 400,000 pendatang tanpa izin di negara ini.