Tiada hak arah hakim kes Likas dedah nama
Ketua Hakim Negara Tan Sri Mohamed Dzaiddin Abdullah tidak ada hak mengarahkan hakim yang mendengar petisyen pilihanraya Likas, Sabah agar mendedahkan nama pemanggil telefon yang menggesa kes itu digugurkan.
"Ia (dakwaan itu) sebahagian daripada penghakiman hakim Muhammad Kamil Awang dan saya tidak berhak mengarahkannya," kata Dzaiddin kepada media di pejabatnya.
"Terpulang kepada hakim Muhammad Kamil untuk mendedahkan nama pemanggil itu."
Dzaiddin berkata tidak menjadi amalannya atau dasar badan itu untuk campur tangan dengan mengarahkan hakim membuat keputusan tertentu atau mempengaruhi mereka menulis penghakiman.
Jumaat lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu menyebutkan beliau menerima panggilan telefon yang mengarahkan beliau menggugurkan perbicaraan petisyen pilihanraya Mac, 1999 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Likas yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional, Datuk Yong Teck Lee.
Dalam keputusan bertulis setebal 28 halaman itu, Muhammad Kamil menyebutkan: "Pada pandangan saya, sungguh terhina kebijaksanaan seseorang apabila diberikan arahan melalui telefon agar petisyen ini digugurkan tanpa perlu dibicarakan, dan lebih penting daripada itu, dengan kesedaran yang sangat jelas saya mendengar (dan menghakimi) petisyen ini."
"Allah telah memberikan saya kekuatan dan kecekalan... untuk bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih, kerana (saya) berpegang kepada sumpah kehakiman dan bimbang mengorbankan keadilan, dan benar-benar menjadi seorang hakim dan bukannya 'pak turut,'" kertas penghakiman itu dipetik.
Keputusan pilihanraya itu dicabar oleh dua calon yang tewas, ahli politik veteran Datuk Harris Mohd Salleh dari Parti Bersekutu dan Dr Chong Eng Leong (Parti Bersatu Sabah).
Bekas pegawai kehakiman
Muhammad Kamil hari ini dilaporkan berkata pemanggil itu seorang "bekas pegawai berpangkat tinggi dalam badan kehakiman" tetapi enggan mendedahkan namanya.
"Ya...anda fikir siapa lagi yang boleh berikan arahan kepada seorang hakim?" katanya, seperti dilapor agensi berita nasional Bernama , apabila ditanya pemanggil itu sama ada di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Menurut laporan itu lagi, panggilan itu diterima selepas Muhammad Kamil ditugaskan mendengar petisyen pilihan raya itu pada 1999 dan sebelum perbicaraan bermula, terdapat beberapa bantahan awal dikemukakan.
"Saya mahu mengetepikan semua isu teknikal ini demi keadilan... ketika itulah bila panggilan itu diterima," kata Muhammad Kamil.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rais Yatim semalam berkata hakim itu perlu berbuat demikian kerana tindakan pemanggil itu boleh memberikan kesan negatif kepada institusi kehakiman.
"Beliau tidak boleh setakat hanya berkata ada panggilan telefon dibuat meminta kes itu digugurkan tanpa mendedahkan siapa pemanggil itu," kata Rais.
Pembangkang dan juga persatuan peguam memandang serius campur tangan pemanggil itu terhadap hakim tersebut dan menggesa polis menyiasat gangguan tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.