Kumpulan wartawan tuntut henti ugut media
Institut Wartawan Malaysia (IOJ) menggesa pihak berkuasa untuk menghentikan sekatan media dan memansuhkan undang-undang menindas, sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia hari ini.
"Sempena Hari Kebebasan Akhbar Dunia, IOJ menggesa pihak berkuasa untuk menamatkan mana-mana dan sebarang ugutan ke atas akhbar," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut IOJ, sejak beberapa minggu kebelakangan, terdapat tidak kurang dua kes wartawan berdepan dakwaan kerana subjek yang ditemuramah tidak berpuas hati dengan laporan berita yang ditulis.
Jikalau seorang menganggap diri mereka telah difitnah di media, katanya, terdapat ruang yang mencukupi untuk mendakwa.
"Kerajaan tidak perlu campur tangan dalam hal-hal peribadi," kata IOJ.
Kerajaan juga perlu menghentikan seekatan sewenang-wenangnya ke atas laman berita dalam talian, gesa IOJ serta membubarkan pengawasan ke atas penerbitan cetak.
Ini adalah penting, katanya, apabila Malaysia bergerak ke arah menjadi sebuah negara maju dan juga sebuah negara demokrasi matang. Oleh itu, katanya, kebebasan maklumat mesti dilindungi dan dipertingkatkan.

