Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang ibu yang masih berpantang hari ini menunaikan tanggungjawabnya dengan membuang undi awal di Kem Tentera Penrissen Kuching.

Wanita itu Regina David, 34 merupakan isteri kepada tentera Nicholas Pih turut sama membawa anak perempuannya Callysta Adora yang baru berusia seminggu ke pusat pengundian itu.

“Saya keluar seawal jam 7.30 pagi, saya baru bersalin seminggu dan bawa anak kerana selepas ini mahu ke klinik bagi pemeriksaan kesihatan bayi,” katanya kepada pemberita.

Keluarga itu turut di sapa oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah yang kebetulan turut ada disitu.

“Terima kasih kerana keluar mengundi walaupun masih berpantang,” kata Hashim kepada wanita itu.

Sementara itu dalam sidang media, Hashim turut memuji wanita tersebut.

Katanya walaupun masih berpantang, beliau menunjukkan semangat dalam mempertahankan demokrasi negara.

“Pengundian ini melibatkan tentera dan pasangan masing-masing, kalau kita tengok di persekitaran tempat mengundi terdapat mereka yang membawa anak-anak kecil dan tidak tinggal di rumah.

“Semangat dia yang penting untuk keluar mengundi, saya merakamkan ucapan terima kasih kerana sanggup keluar dengan anak-anak kecil tadi.

"Baru seminggu usia (bayi) telah keluar mengundi, ia menunjukkan tinggi semangat untuk mengundi dan menegakkan demokrasi dalam negara kita,” katanya.

79 pusat pengundian dibuka

Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN11) bermula pukul 8 pagi.

Terdapat sejumlah 24,604 pengundi awal terdiri daripada anggota keselamatan serta pasangan masing-masing boleh mengundi di 79 pusat pengundian.

Sebanyak 33 pusat pengundian akan ditutup pada 2 petang dan selebihnya 46 pusat lagi akan ditutup 5 petang, berdasarkan kepada bilangan pengundi di pusat-pusat berkenaan.

Kertas undi bagi pengundi awal hanya akan dikira mulai pukul 4 petang pada hari pengundian biasa (7 Mei) yang dilaksanakan secara berkelompok di tempat pengiraan undi yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut senarai SPR, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan mempunyai jumlah pengundi awal paling ramai iaitu 7,055 orang, diikuti Bukit Sentosa (3,163 pengundi), Nangka (3,043), Batu Kawah (1,241) dan Sri Aman (1,075).

Bagaimanapun, jumlah pemilih itu tidak melibatkan 418 pengundi awal di dua kawasan DUN - Bukit Kota dan Bukit Sari, berikutan kemenangan tanpa bertanding BN di kedua-dua kerusi itu pada hari penamaan calon, 25 April lepas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS