Hampir separuh daripada 14,846 pengundi di kawasan baharu Stakan pada pilihan raya negeri ini selesai menunaikan kewajipan masing-masing hari ini.

Ini kerana kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu mempunyai 7,055 pengundi awal dari kalangan anggota tentera dan polis serta pasangan mereka.

Seramai 7,788 pengundi biasa pula akan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 7 Mei ini. Terdapat tiga pengundi luar negara di DUN itu.

Kerusi Stakan terletak dalam kawasan Parlimen Kota Samarahan, satu kawasan yang kecil tetapi jumlah pengundinya cukup besar, yang majoriti penduduknya berketurunan Iban, diikuti Melayu dan Cina.

Stakan merupakan bandar baharu yang cepat membangun dan dikenali sebagai pusat pendidikan.

Calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi itu ialah Datuk Seri Mohamad Ali Mahmud, adik kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, yang merupakan penyandang kerusi Muara Tuang.

“Memandangkan kawasan DUN Muara Tuang begitu luas maka pembentukan kerusi baharu Stakan adalah keputusan yang tepat bagi membolehkan segala infrastruktur dan pembangunan ekonomi dapat dilaksanakan lebih berkesan demi faedah penduduk,” kata seorang penduduk di Kota Samarahan, Narwawi Ahmad, 62.

Menurut Narwawi, pengalaman selama dua penggal sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang, Mohamad Ali merupakan seorang ahli politik yang cukup berpengalaman untuk memimpin kawasan baharu itu.

“Sentuhan dan idea beliau sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya boleh digunakan untuk kemajuan dan pembangunan Stakan, seperti mana beliau memimpin Muara Tuang,” katanya.

Sambil menjangkakan calon BN tidak akan berhadapan masalah memenangi kerusi berkenaan, Narwawi menyifatkan DAP hanya kacau daun semata-mata, tidak mahu Mohamad Ali menang tanpa bertanding di kerusi Stakan.

“Masyarakat Iban di sini merupakan pengundi paling ramai dan mereka adalah penyokong kuat BN,” katanya.

DAP meletakkan calon anak muda berusia 25 tahun, Leslie Ting Xiang Zhi untuk kerusi berkenaan.

Bangunkan kemudahan sukan

Sementara itu, golongan remaja kawasan itu turut menyatakan sokongan penuh kepada Mohamad Ali dan berharap apabila dipilih nanti sebagai anggota DUN Stakan, beliau akan lebih melihat kepentingan golongan remaja dan tidak meminggir mereka dalam setiap aspek pembangunan.

“Golongan remaja ingin terlibat lebih aktif dalam menyumbang sesuatu kebaikan untuk negeri Sarawak,” kata Wilfred Engkaman, 26, penduduk di sebuah kawasan perumahan di Desa Ilmu, Kota Samarahan.

Beliau mencadangkan lebih banyak kemudahan sukan dan rekreasi untuk golongan muda dibangunkan di kawasan Stakan bagi kegunaan golongan remaja.

Meskipun berdepan dengan lawannya yang muda tanpa pengalaman politik, Mohamad Ali berkata beliau tidak ambil mudah cabaran lawannya itu, tetapi menganggap bukan halangan besar bagi beliau memenangi kerusi berkenaan.

Mengenai perancangan beliau, Mohamad Ali berkata beliau akan terus melaksanakan pembangunan yang telah dan sedang dirancang untuk memacukan kawasan Stakan ke arah yang lebih progresif selari dengan usaha yang dibawa oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Pada masa sama beliau berharap rakyat di kawasan DUN Stakan memberi sokongan padu kepada BN bagi memberi mandat besar kepada Adenan untuk terus memimpin negeri ini.

Dalam pada itu Walikota Samarahan Datuk Peter Minos berkata pengundi bagi kerusi Stakan perlu memastikan Mohhamad Ali menang supaya dapat bersama-sama angggota DUN Muara Tuang dan Asajaya bekerjasama untuk terus meningkatkan pembangunan di Samarahan.

-Bernama