Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kontraktor direman 2 hari kerana didakwa memandu melulu
Diterbitkan:  May 4, 2016 6:57 AM
Dikemaskini: May 4, 2016 1:03 PM

Mahkamah Rendah di Johor Bahru hari ini membenarkan perintah tahanan reman ke atas seorang kontraktor tempatan yang didakwa memandu secara melulu sehingga menjadi viral dalam laman Facebook, Isnin lalu (2 Mei).

Lelaki itu yang berusia 46 tahun dan turut memiliki status Pemastautin Tetap (PR) Singapura direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu hingga mendatangkan bahaya kepada orang awam.

Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Baharu Mohammad Salehudin Abd Sani selepas membenarkan permohonan reman daripada Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Utara (JBU) untuk melakukan siasatan lanjut.

Permohonan reman adalah susulan tindakan suspek menyerah diri di Ibu Pejabat Polis JBU semalam (3 Mei) pada pukul 5.30 petang.

Terdahulu, suspek tiba di mahkamah pada pukul 3 petang dengan memakai baju lokap berwarna ungu dan muka ditutupi baju T-Putih.

Turut kelihatan peguam belanya Datin Freda Sabapathy dan tiga rakan suspek.

Dalam kejadian 30 April lalu, suspek yang dikatakan memandu kereta Mercedez Benz S400 bernombor pendaftaran SKN8285M menimbulkan kemarahan pengguna laman sosial berikutan tindakannya memandu secara berbahaya di Plaza Tol Kempas.

Suspek juga didakwa tidak takut sekiranya laporan polis dibuat terhadapnya kerana menyifatkan dirinya mempunyai hubungan baik dengan polis Johor.

Pada kira-kira 3 petang Selasa (3 Mei), satu kenyataan untuk meminta suspek memberi keterangan bagi membantu siasatan dikeluarkan oleh Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Supt Baharudin Mat Taib.

- Bernama

Lihat Komen
ADS