Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP akan mengadakan sidang akhbar Isnin ini bagi menjawab isu ditimbulkan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional Datuk Abdul Rahman Dahlan mengenai projek terowong bawah laut Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Lim Hock Seng berkata Abdul Rahman tidak memberi gambaran menyeluruh tentang projek mega berharga RM6.3 bilion itu, yang termasuk terowong hubungan ketiga.

"Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa Datuk Abdul Rahman Dahlan tidak memberi gambaran menyeluruh, termasuk maklumat sebenar mengenai projek dicadangkan itu.

"...daripada proses prakelayakan, tender terbuka, kajian kebolehlaksanaan, reka bentuk terperinci, penilaian kesan alam sekitar bebas dan seterusnya pembinaan fizikal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Abdul Rahman, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, meminta kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng menjelaskan kenapa jumlah kos bagi laporan kajian kebolehlaksanaan Projek Terowong Bawah Laut Pulau Pinang mencapai hingga RM305 juta.

Abdul Rahman berkata jumlah itu terlalu tinggi dan tidak munasabah memandangkan ia hanya merupakan kerja penulisan dan laporan penyelidikan asas bagi pelaksanaan projek.

Projek yang menghubungkan Gurney Drive di bahagian pulau dengan Bagan Ajam di tanah besar itu adalah satu daripada pelan jangka panjang empat fasa bagi mengatasi kesesakan trafik yang agak kronik di Pulau Pinang.

- Bernama