DAP Sarawak bincang siapa ketua pembangkang negeri
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen mengesahkan bahawa parti itu akan membincangkan mengenai jawatan ketua pembangkang negeri, tidak lama lagi.
Chong berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar yang mencadangkan bahawa Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian dilantik sebagai pemimpin pembangkang di negeri itu.
"Kami akan bincangkannya dan melihat bagaimana. Tidak (ada) gunanya berebut jawatan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Mengulas mengenai sokongan ketara terhadap PKR di kerusi luar bandar, Xavier, semalam, menggesa semua parti pembangkang untuk ‘bercakap sebagai suara yang sama’.
"Memandangkan angin perubahan di kawasan masyarakat bumiputera luar bandar Sarawak, PKR mencadangkan supaya sebagai langkah bergerak ke hadapan, Baru, yang adalah keturunan bumiputera Sarawak dinamakan pemimpin pembangkang negeri."
Katanya, Baru melambangkan perubahan di kawasan luar bandar Sarawak.
Baru berjaya mengekalkan kerusi Ba'kelalan pada pilihan raya negeri Sarawak, Sabtu lalu. Beliau bagaimanapun mempertahankan kerusi itu dengan majoriti tipis 538 undi.
Chong, juga mengekalkan kerusi DUN Kota Sentosa dengan menewaskan calon BNn Nasional Wilfred Yap Yau Sin dengan majoriti selesa 2,819 undi.
PKR mengekalkan status quo dengan mengekalkan semua tiga kerusinya sebelum ini walaupun bertanding di 40 kerusi manakala DAP hanya memenangi tujuh kerusi berbanding 12 yang dimilikinya sebelum ini. DAP bertanding di 31 kerusi pada pilihan raya negeri kali ini berbanding hanya 15 sebelum ini.
Justeru, secara kolektif, Pakatan Harapan hanya mempunyai 10 kerusi di DUN Sarawak kali ini kerana Parti Amanah Negara (AMANAH) gagal memenangi sebarang daripada 13 kerusi yang ditandinginya.

