Sambutan Hari Umno ke-70 yang dijadualkan pada Rabu ditunda kepada Khamis ini, kata setiausaha agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata ia bagi memberi penghormatan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 11 Mei, diikuti majlis santapan malam sempena mesyuarat itu pada malamnya.

"Tarikh baharu ini baru sahaja diputuskan sebentar tadi dan penundaan itu telah kita maklumkan kepada semua Umno bahagian dan negeri," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Tengku Adnan berkata sambutan Hari Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra akan diadakan secara sederhana dengan bacaan Yassin dan Tahlil bagi mengenang pemimpin terdahulu dan perjuangan Umno, serta anggota parti yang maut dalam nahas helikopter di Sarawak pada Khamis lalu.

Beliau berkata Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak juga memutuskan supaya semua program dan aktiviti sempena ulang tahun parti itu dibatalkan sebagai tanda sedih dan berdukacita seluruh anggota parti berikutan tragedi helikopter itu yang mengorbankan kesemua enam penumpang dan juruterbangnya.

Program yang dibatalkan ialah Karnival Himpunan Hari Umno yang dijadual berlangsung di Dataran Merdeka pada 14 Mei, acara sukan dan larian bendera parti yang kini berlangsung di seluruh negara.

"Selain menghormati anggota keluarga mangsa, pembatalan itu dibuat kerana kami sendiri turut merasai kehilangan dua anggota parti yang sebenarnya pergi ke Sarawak untuk membantu kita dalam pilihan raya negeri," katanya.

Dalam nahas itu, Umno kehilangan ahli parlimen Sungai Besar yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Turut berada di dalam pesawat itu, yang terhempas ketika dalam penerbangan dari Betong ke Kuching, ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.

- Bernama