Panama Papers akan didedah kepada umum hari ini
Rekod sulit membabitkan lebih 200,000 akaun luar pesisir dalam dokumen 'Panama Papers' akan diterbitkan secara online hari ini, dengan harapan penelitian awam dalam dokumen tersebut akan menjana lanjutan bayangan berkenaan kemungkinan salah laku rasuah dan usaha mengelak cukai.
“Kami fikir ini adalah langkah berikut yang logik dalam penyiasatan,” kata Gerard Ryle yang merupakan pengarah Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ), sebuah organisasi berpangkalan di Washington yang menyelaraskan pelaporan rekod-rekod tersebut.
“Kami memiliki 370 wartawan seantero dunia yang melihat kepada data, namun ia sangat meluas, saya maksudkan 11.5 juta dokumen,” jelas Ryle. “Kami tahu kami terlepas pandang beberapa perkara.”
Ryle berkata, organisasinya berharap orang awam akan mendapat pencerahan mengenai pengeluaran data 'Panama Papers' terbaru itu dan mendedahkan sebarang salah laku yang dikenal pasti.
Maklumat tersebut, yang akan dikeluarkan secara online pada 2 petang EDT dalam pangkalan data boleh dicari, akan menyenaraikan :
1. Nama-nama dan alamat-alamat lebih 200,000 syarikat luar pesisir dalam kebocoran 'Panama Papers';
2. Nama mereka yang disenaraikan sebagai pengarah atau pemegang saham syarikat dan firma luar pesisir yang menimbulkan persoalan; dan
3. Identiti berdozen-dozen agensi pengantara yang membantu menubuh serta mengendalikan akaun-akaun tersebut termasuk Mossack Fonseca, firma perundangan Panama yang menjadi punca kebocoran rekod-rekod tersebut.
Sehingga kini, hanya beberapa nama yang berprofil tinggi telah menjadi tatapan umum semenjak media di seluruh dunia menerbitkan berita kebocoran dokumen besar-besaran bulan lepas.
Pangkalan data 'Panama Papers' yang didedahkan umum hari ini akan membolehkan pencarian individu atau firma luar pesisir menerusi nama dan pemetaan kaitan antara individu dan entiti luar pesisir.
Bagaimanapun, dokumen sebenar akan disimpan terlebih dahulu, termasuk salinan pasport, nombor telefon, email dalaman Mossack Fonseca dan dalam sesetengah kes, rekod kewangan. Dokumen tersebut akan hanya tersedia untuk ICIJ dan rakan wartawannya.
Mulai hari ini, agensi-agensi berita seantero dunia akan menyiarkan data keluaran terbaru itu, yang pastinya akan menyebabkan kebanjiran artikel-artikel berita yang sarat dengan penglibatan ahli politik, ahli perniagaan dan tokoh terkenal yang lain.
- Bernama-NNN-EFE

