Berita Malaysiakini

Isu UEC: Timbalan Menteri Pendidikan perlu jelaskan

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Gerakan penyokong sekolah satu aliran membantah sebarang usaha untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC).

Dalam maklum balas kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon yang dipetik sebagai berkata UEC akan diiktiraf “tidak lama lagi”, Pengerusi Gerakan Sistem Sekolah Satu Aliran Demi Perpaduan (Serap), Shahril Hamdan menggesa Chong agar menjelaskan perkara itu.

“Kami menentang sekeras-kerasnya hal ini dan kami mahu Chong menjelaskan sama ada kenyataannya itu berdasarkan harapan sendiri atau sememangnya ianya telah dipersetujui oleh pihak kerajaan,” kata Shahril dalam kenyataannya, hari ini.

Shahril berkata, kenyataan Chong itu bercanggah dengan keputusan kerajaan sebelum ini bahawa UEC tidak diiktiraf sebagai kelayakan kemasukan ke universiti tempatan.

Beliau turut menekankan pendirian Serap dalam hal itu - bahawa kewujudan pelbagai aliran sekolah buat suatu aset kepada negara dan lebih dari itu, memecah belahkan rakyat.

Shahril, yang juga ahli majlis eksekutif Pemuda Umno berkata, Chong harus menyedari UEC tidak menggunakan kurikulum nasional dan telah menggunakan kurikulum Taiwan selain diuruskan oleh Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), berbanding kerajaan.

Baru-baru ini, kerajaan negeri Sarawak secara prinsipnya bersetuju mengiktiraf UEC sebagai syarat untuk berkhidmat dengan perkhidmatan awam dan pusat pengajian tinggi awam negeri Universiti Malaysia Sarawak.

Langkah itu menjadikan negeri pertama mengiktiraf sijil yang dikeluarkan oleh Sekolah-sekolah Menengah Bebas Cina (MICSS) itu.

Putrajaya sebelum ini tidak menerima UEC sebagai syarat untuk menyertai institusi awam, kerana ia dikatakan gagal mengikuti dasar-dasar dan kurikulum sistem pendidikan kebangsaan.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, mereka yang mahu memperjuangkan UEC adalah hak masing-masing tetapi tidak boleh meminta sokongan kerajaan.

“Sebarang usaha untuk mengiktiraf adalah langkah terkebelakang dan akan memburukkan keadaan," ujarnya.