Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas mahu 40 ahli dewan undangan negeri (ADUN) menjaga tingkah laku mereka ketika berada di dalam dan luar dewan tersebut.

"Anda pemimpin masyarakat dan menjadi contoh kepada orang awam," kata Abdul Rahman dalam ucapannya ketika persidangan dewan undangan negeri Pulau Pinang, hari ini.

Walaupun mustahil untuk mencapai persetujuan 100 peratus dalam politik namun pelaksanaan sistem semak dan imbang adalah suatu kemestian, jelas beliau.

"Jalankan sistem itu atas kepercayaan dan meletakkan isu peribadi dan ketidak setujuan politik ke tepi," pesan beliau.

Abdul Rahman kemudiannya merasmikan mesyuarat pertama sesi keempat persidangan dewan undangan negeri Pulau Pinang ke-13.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diarah membayar ganti rugi sebayak RM500,000 selepas Datuk Jahara Hamid menyamannya kerana menggelar ketua pembangkang itu "nenek rasis".

Mahkamah turut memerintahkan Lim yang juga setiausaha agung DAP menarik balik gelaran terhadap Jahara selain mengeluarkan perintah injunksi menahan Lim daripada mengulangi kata-kata fitnah itu.

Pada 2014, Jahara menfailkan saman itu dengan mendakwa Lim pada 10 Disember 2013 dalam sidang akhbar di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) telah menggelarkannya sebagai nenek rasis.

Sesi kali ini dijangka menyaksikan debat dalam beberapa isu hangat termasuk projek tambakan tanah, penebangan bukit haram, pelan pengangkutan induk Pulau Pinang dan cadangan terowong bawah laut antara Persiaran Gurney dan Bagan Ajam.

Pada masa yang sama, Abdul Rahman turut menggesa semua ADUN berdebat secara intelektual.

“Jadilah rasional dan bukan beremosi dalam mendebatkan isu, yang mana telah disemak secara terperinci,” ujar Abdul Rahman.

“Adalah menjadi harapan saya agar semua dapat bekerja sama dengan Lim Guan Eng untuk manfaat semua rakyat Pulau Pinang,” tambah beliau dalam ucapan selama 45 minit itu.