Permohonan ahli dewan undangan negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu dari DAP untuk mengemukakan notis usul pindaan perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri Pulau Pinang telah ditolak oleh Speaker DUN Datuk Law Choo Kiang.

Teh memberitahu, beliau bagaimanapun tidak dimaklumkan sebab penolakan permohonan usul yang dikatakan kontoversi itu.

Ditanya apakah dewan undangan negeri Pulau Pinang masih mengamalkan demokrasi dengan penolakan usul tersebut, Teh sekadar menjawab "ianya proses yang kita terpaksa lalui".

"Speaker mempunyai hak untuk menolak permohonan saya".

"Namun, saya mematuhi semua garis panduan apabila memohon cadangan usul, semua sangat mudah," jelas Teh lagi.

Sebelum ini, Teh mahu mencadangkan penggiliran jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dengan mengehadkan jawatan itu kepada dua penggal sahaja bagi memberi peluang kepada pemimpin lain yang berkebolehan memegang jawatan itu.

Cadangan itu juga akan memberi peluang kepada pemimpin lain termasuk wanita untuk mentadbir Pulau Pinang, ujarnya.

Usul itu turut mendapat sokongan Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid dan Adun Pulau Tikus, Yap Soo Huey, juga dari DAP.

Tidak putus ada dengan penolakan hari ini tersebut, Teh berkata beliau akan memohon semula pada persidangan seterusnya yang dijangka berlaku dalam masa enam bulan lagi.

Dalam surat kepada Teh minggu lalu, Law berkata, permohonan Teh ditolak kerana beliau tidak menyatakan seksyen yang sesuai dalam perlembagaan negeri untuk menyokong cadangan usul tersebut.