mk-logo
Berita
Kerusi PAS, Pakatan Harapan tiada harapan - Nazri Aziz

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz yakin Pakatan Harapan tidak mempunyai sebarang harapan untuk memenangi pilihan raya kecil kerusi parlimen di Kuala Kangsar.

Menurutnya, kawasan parlimen Kuala Kangsar sejak dahulu lagi adalah kubu Umno dan ia ditandingi oleh PAS maka adalah menjadi hak parti Islam itu untuk bertanding.

“Ini hal dia orang dan tidak ada kena mengena dengan saya tetapi kawasan tersebut dari dulu PAS yang bertanding dan Pakatan Harapan ini tak ada harapan.

“Mereka tak ada harapan, di Sarawak pun mereka kalah teruk jadi saya fikir (parlimen Kuala Kangsar) hak PAS lah sebenarnya (bertanding).

“Yang kuat itu PAS bukan Harapan,” kata Nazri ketika dihubungi Malaysiakini.

Pilihan raya kecil Kuala Kangsar akan diadakan susulan nahas helikopter di Sarawak, Khamis lalu yang mengorbankan penyandang kerusi itu Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Pembangkang menerusi Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2013 menyerahkan kerusi itu kepada PAS tetapi calonnya Khalil Idham Lim Abdullah gagal merampasnya dan tumbang dengan majoriti 1,082 undi.

Pakatan Harapan kini dianggotai oleh DAP, PKR dan Parti Amanah Negara selepas pertelagahan terbuka DAP dan PAS menyaksikan Pakatan Rakyat terkubur.

Portal rasmi PAS, Harakahdaily, Ahad lalu, memetik ketua pengarah pilihan raya parti itu, Datuk Mustafa Ali, mengumumkan PAS akan bertanding bukan sahaja di kerusi Kuala Kangsar tetapi juga di Sungai Besar.

Kedua-dua kerusi itu kosong berikutan nahas udara di Sarawak yang mengorbankan enam orang.

Selain Wan Mohammad Khair-il Anuar, turut terbunuh adalah ahli parlimen Sungai Besar yang juga adalah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu pula memberitahu Malaysiakini, semalam bahawa partinya hanya akan membuat keputusan pada 15 Mei ini sama ada mereka akan bertanding.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, semalam berkata parti itu sudah mengenal pasti beberapa individu berpotensi untuk disenaraikan sebagai calon pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak.

Menurutnya, Ibu Pejabat Umno sudah membuat persiapan awal dengan melihat kepada senarai pengundi, kawasan, demografi dan komposisi kaum.

“Kita sudah mulakan di kedua-dua kawasan dan maklumat akan diberikan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pada mesyuarat Majlis Tertinggi yang dijangka hujung bulan ini untuk dibincangkan,” katanya.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini