Speaker Pulau Pinang benarkan usul Umno
Speaker DUN Pulau Pinang, Law Choo Kiang menafikan beliau mengamalkan dwi-standard kerana hanya membenarkan satu usul untuk dibahaskan semasa sesi sidang DUN.
Permohonan usul yang berjaya itu difailkan oleh ADUN Pulau Betong Muhammad Farid Saad.
Dalam usul yang dicadangkannya itu, Farid menggesa kerajaan negeri untuk membatalkan kerja-kerja penambakan yang membabitkan kawasan kira-kira 4,000 ekar di selatan Pulau Pinang dan mencari pembiayaan alternatif bagi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang bernilai RM27 bilion.
"Jika saya amalkan dwi-standard, saya akan tolak usul Farid dan membenarkan usul daripada wakil rakyat DAP dan PKR dibahaskan," kata Law kepada pemberita selepas sidang hari ini.
Law yang juga adalah ADUN Bukit Tambun dari PKR, berkata tidak ada alasan untuk menolak usul Farid.
"Jika mahu usul anda diluluskan jangan merujuk kepada fasal yang tidak sesuai," kata Law.
Farid menimbulkan kekecohan pada sidang DUN sebelum ini pada bulan November lalu apabila lima ADUN PKR berkecuali dalam pengundian itu manakala wakil DAP bagi DUN Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu menyokongnya.
Ini menyebabkan dua daripada lima ADUN berkenaan hilang jawatan pengarah dalam syarikat berkaitan kerajaan, manakala Teh menarik balik sokongannya kepada Umno itu dan melepaskan jawatannya sebagai setiausaha penganjur DAP peringkat negeri.
Law menolak enam usul lain termasuk satu yang dicadangkan oleh Teh, yang mencadangkan jawatan ketua menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja.

