Lagi kegiatan jenayah dengan cara meletupkan Mesin Teler Automatik (ATM) dalam tempoh kira-kira dua minggu.

Kali ini berlaku di sebuah bank di Membakut, Sabah apabila mesin pengeluaran wang itu diletupkan awal pagi tadi sebelum perompak melarikan RM70,000 wang tunai.

Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Mohd Azmir Abdul Razak berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2.15 pagi dan disyaki dilakukan lebih daripada seorang suspek.

"Sejurus menerima panggilan daripada pihak bank berkenaan selepas kejadian itu, kita telah menghantar sepasukan anggota ke lokasi. Sebaik sahaja tiba didapati sebuah mesin ATM telah musnah," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan bahan letupan buatan sendiri dan kini pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.

Rabu lalu, dua individu dilapor menggunakan bom buatan sendiri untuk meletupkan mesin ATM sebuah bank di Karak di Bentong, Pahang.

Namun letupan itu hanya menyebabkan kesan kemek pada mesin tersebut sementara peti wang tidak terjejas.

Pada 26 April lalu, sebuah mesin ATM milik sebuah bank di Pekan Jitra I Kedah diletupkan sebelum wang tunai dianggarkan bernilai lebih RM300,000 dilarikan.