ULASAN Pilihan raya Sarawak sepatutnya membuka mata seluas-luasnya semua pihak terutamanya pembangkang tentang apa yang patut diberi keutamaan. Yang paling penting semua pihak mesti menundukkan ego masing-masing dan mempersadakan kepentingan rakyat yang makin keliru.

Kalau masing-masing terlalu asyik dengan kepentingan dan kehebatan diri serta parti sendiri rakyat akan terus keliru. Hanya Allah yang maha agung dan sempurna dan kita semua adalah hambaNya sahaja. Lagi cepat kita sedar dan insaf dengan sifat kehebatan diri lagi baik untuk rakyat yang kian menderita.

Tiada parti atau individu yang sempurna dan pihak pembangkang memerlukan satu antara lain. Semangat berpasukan diamalkan sejak zaman Rasulullah S.A.W. dalam menghadapi musuh.

Setiap individu mempunyai keistemewaan tersendiri kurniaan Allah SWT dan kerana itulah kita diciptakan untuk wujud dalam satu masyarakat bersaudara. Tiada puak atau individu patut merasa dirinya sempurna dan banyak kelebihan. Kerana itu pembangkang perlu bersatu dan mengenepikan perbezaan idelogi sempit dan kepentingkan diri.

Pertindihan kerusi

PRN Sarawak menunjukkan akibat buruk persengketaan sesama pembangkang. Pertindihan kerusi sesama pembangkang dikesali oleh rakyat. Kepentingan peribadi serta parti mesti diketepikan.

Pakatan Harapan telah ditubuh untuk menyatukan pembangkang termasuk PAS yang telah dijemput pada awal dahulu lagi dan masih berpeluang bersama.

PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar amat kritikal untuk pembangkang menjelang PRU 14.

Gesaan Menteri Umno Dato Seri Nazri Aziz pada 10 Mei supaya PAS bertanding di Kuala Kangsar dan bertembung dengan wakil Pakatan Harapan dalam pertandingan 3 penjuru menunjukkan pertembungan ini yang Barisan Nasional harap-harapkan yang akan terus merosakkan dan menghancurkan pembangkang.

Mengapa harus kita terus masuk perangkap yang jelas disediakan oleh musuh kalau kita serius membela rakyat yang dahagakan perubahan.

Di mana letaknya untung pihak pembangkang membenarkan diri terus diheret ke dalam perangkap demi perangkap?

Adakah semata-mata supaya untuk dilihat hebat dan gagah walaupun realiti di Sarawak menunjukan keputusan yang menyedihkan. Inilah dikatakan 'menang sorak, (konon nya hebat), kampung tergadai'!

Rakyat muak dan jemu

Sikap inilah yang menyebabkan bilangan keluar mengundi di Sarawak begitu rendah hanya 50 peratus di tengah hari kerana rakyat muak dan jemu sikap angkuh pembangkang yang masing-masing menggelarkan diri sendiri juara yang hebat.

Sehingga ada kematangan dan pengorbanan yang bermakna, pembangkang akan terus mundur. Inilah masanya semua pihak bermuhasabah diri atas kekerdilan diri berseorangan yang lemah di mata Allah dan patut bersatu di bawah kumpulan yang lebih besar dan ikhlas membela rakyat.

Adakah perjuangan pembangkang hanya untuk mendabik dada atas kehebatan diri masing-masing atau perjuangan untuk membela rakyat marhaen?

Inilah persoalan dari rakyat sekarang. Pilihan raya adalah gelanggang untuk membela rakyat bukan gelanggang menunjuk kehebatan kepada rakyat!

Marilah kita bersama-sama mencari jalan ke arah pembelaan nasib rakyat. Insya’Allah.


RAJA BAHRIN SHAH Ahli Parlimen Kuala Terengganu.