Majlis Peguam mohon kebenaran rayu keputusan kes Cecil
Majlis Peguam hari ini memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi merayu keputusan Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara yang membersihkan peguam kanan Tan Sri Cecil Abraham daripada sebarang salah laku.
Ini berhubung dakwaan beliau terlibat dalam merangka akuan bersumpah (SD) kedua, P Balasubramaniam lapan tahun lalu.
Carian fail mendedahkan bahawa Majlis Peguam, dalam permohonan yang difailkan bulan lalu, memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan keputusan 11 Mac oleh lembaga itu yang mendapati beliau tidak bertanggungjawab ke atas salah laku dalam maksud Seksyen 94 (3) Akta Profesion Undang-Undang 1976.
Semalam adalah pengurusan kes pertama bagi perkara itu di hadapan Timbalan Pendaftar.
Majlis Peguam menerusi setiausahanya Karen Cheah memberi 12 alasan dalam permohonan yang menurutnya, lembaga itu telah terkhilaf iaitu: -
- Jawatankuasa dan lembaga gagal mengambil kira bahawa dalam semua urusan surat-menyurat, Cecil tidak menafikan aduan itu tetapi memilih untuk berdiam diri.
- Jawatankuasa dan lembaga gagal mengambil kira keterangan daripada tiga saksi Cecil, peguam yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Cecil, dan keterangan mereka bercanggah dengan surat sebelum ini kepada pengadu.

