Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar tiada pihak cuba merosakkan hubungan baik yang telah terjalin antara Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Baginda bertitah pasukan ATSNJ juga tidak berniat untuk menjadi barisan hadapan pertahanan negara dan nama 'Timbalan' juga jelas menggambarkan peranannnya sebagai benteng pertahanan kedua, lapor Bernama hari ini.

"Oleh yang demikian, janganlah ada pihak yang cuba merosakkan hubungan baik yang telah terjalin antara pasukan ATSNJ dengan ATM.

"Pasukan ATSNJ juga sering menjalani latihan bersama-sama pasukan ATM terutama dengan Grup Gerak Khas dan saya mahu lebih banyak lagi anggota ATSNJ dihantar untuk menjalani latihan ketenteraan sama ada di darat, laut atau udara," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Pertukaran Panji-Panji Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ) di Dataran Istana Besar, di Johor Bahru hari ini. Sultan Ibrahim ialah Komandan ATSNJ.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pemimpin kerajaan persekutuan dan negeri yang mengukuhkan organisasi ATSNJ dengan meluluskan penambahan jawatan dan pelarasan skim gaji anggota ATSNJ yang setanding dengan ATM.

Mengenai panji-panji, Sultan Ibrahim bertitah, ia merupakan lambang atau simbol kemuliaan bagi sesebuah pasukan yang mesti dipertahankan.

Baginda bertitah, panji-panji ATSNJ telah dianugerahkan buat pertama kalinya oleh Almarhum Sultan Ibrahim pada 11 Mei 1916 iaitu 30 tahun selepas ATSNJ ditubuhkan dan Almarhum Sultan Iskandar ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong kemudian telah mengurniakan panji-panji baharu sempena sambutan ulang tahun ATSNJ yang ke-100 pada 1986.

"Pada hari ini, sempena menyambut ulang tahun ke-130 penubuhan ATSNJ, saya berkenan untuk menganugerahkan panji-panji diraja yang baru kepada ATSNJ," titah baginda.

Terdahulu, di majlis tersebut, Sultan Ibrahim turut memeriksa perbarisan Istiadat Pertukaran Panji-Panji membabitkan tujuh pegawai dan 190 anggota lain-lain pangkat ATSNJ yang diketuai Mejar Jalalludin Hamsan.

Majlis diikuti dengan panji-panji lama diarak keluar dan penganugerahan panji-panji baharu dan disusuli bacaan ikrar oleh Tunku Ismail.

- Bernama