Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini mencadangkan kepada kerajaan Johor supaya menghidupkan semula Pasukan Kesukarelawanan Johor (JVF) untuk menambah kecekapan, memperkasa disiplin serta integriti pegawai dan kakitangan kerajaan.

Sultan Ibrahim bertitah cadangan terbabit juga dapat menghidupkan semangat sukarelawan bangsa Johor dalam mempertahankan kedaulatan institusi diraja, perpaduan dan kemakmuran negeri ini.

"Pasukan JVF ini juga akan dibuka keahliannya kepada semua bangsa Johor tanpa mengira kaum atau keturunan berdasarkan kelayakan dan kriteria yang akan ditetapkan kelak," titah baginda ketika menyempurnakan Istiadat Pertukaran Panji-Panji Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ) di Dataran Istana Besar, di Johor Bahru hari ini. Sultan Ibrahim ialah Komandan ATSNJ.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor yang juga Pegawai Pemerintah ASTNJ Tunku Ismail dan isteri baginda Yang Mulia Che' Puan Khaleeda Bustamam, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris, Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Sultan Ibrahim bertitah anggota JVF juga akan diberikan latihan asas dengan mengikuti aktiviti ketenteraan bersama ATSNJ dan mereka akan berkhidmat secara sukarela bagi membantu kerajaan dalam bidang pertahanan awam dan apa juga program yang bersesuaian terutama dalam memberikan bantuan semasa bencana dan

khidmat masyarakat kepada rakyat negeri ini.

Baginda bertitah, Almarhum Sultan Ibrahim telah mencetuskan ilham penubuhan sebuah pasukan sukarela dikenali sebagai 'Johor Volunteer Infantri' pada 1905 dan kemudiannya ditukar kepada JVF malah Almarhum Sultan Ibrahim turut mengurniakan panji-panji kepada pasukan JVF pada 7 September 1935.

Menurut baginda, JVF ditubuhkan untuk melatih rakyat Melayu Johor menjadi pegawai tadbir kerajaan kerana Almarhum Sultan Ibrahim berpendapat bahawa pegawai yang mempunyai latihan ketenteraan akan lebih berdisiplin, berwibawa dan lebih cekap.

"Anggota Perkhidmatan Tadbir Negeri (JCS) telah diserapkan dan diberikan latihan ketenteraan di bawah JVF. Sejarah juga menunjukkan uniform istiadat serba putih dan topi serta pedang JVF dijadikan pakaian istiadat pegawai tadbir negeri.

"Sebab itulah sehingga kini, JCS merupakan satu-satunya institusi perkhidmatan awam di Malaysia yang mempunyai pedang istiadat sebagai bukti pertaliannya dengan JVF," titah Sultan Ibrahim.

Baginda menambah ramai pemimpin Johor telah memulakan kerjaya di ATSNJ dan JVF antaranya Menteri Besar Johor ketiga Datuk Abdullah Jaafar, Menteri Besar Johor keenam Ungku Abdul Azizi Abdul Majid serta Menteri Besar Johor ketujuh Datuk Onn Jaafar.

Difahamkan, JVF dibubarkan pada tahun 1942 ketika Perang Dunia Kedua.

- Bernama