Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bersama-sama dengan beberapa NGO dan kumpulan mahasiswa akan menganjurkan debat mengenai kebaikan dan keburukan daripada inisiatif gerakan 'Selamatkan Malaysia'.

Pengarah Program Debat Perdana SAMM, Edy Noor Reduan berkata, pihaknya akan menganjurkan satu debat maraton bertajuk “Deklarasi: Mana Pergi Rakyat” pada 16 Mei ini.

Katanya, debat itu bakal merungkai persoalan apakah faedah dan keuntungan rakyat daripada Deklarasi Rakyat yang diketuai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“SAMM melihat pembentangan hujah secara matang melalui kaedah dua hala mampu menghasilkan percambahan idea dalam mencari jalan terbaik menyelamatkan negara berbanding forum sehala yang bias dan tepu kepada satu sudut pandangan semata-mata,” katanya.

Debat itu akan menampilkan Bekas Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan, Bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad bagi pihak ‘Pro-deklarasi’.

Di pihak ‘Pro-reformasi' pula ia menampilkan Chegubard, Bekas setiausaha PSM S Arutchelvan dan Aktivis Asalkan Bukan Umno (ABU), Haris Ibrahim.

Debat itu akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dan menampilkan Pengerusi Kesatuan Mahasiswa Azzan Aznan selaku moderator.

Mahathir sebelum ini melancarkan Deklarasi Rakyat bersama pimpinan pembangkang, NGO dan tokoh masyarakat sivil bagi menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Gerakan berkenaan kini mendakwa telah mencapai sasaran 1 juta tandatangan untuk diserahkan kepada Majlis Raja-Raja bagi mendesak pengunduran Najib.

Bagaimanapun pembangkang dikritik kerana 'bersekongkol' dengan Mahathir dalam usahanya menyingkirkan perdana menteri.