Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DBKL lancar pusat beli barang kitar semula
Diterbitkan:  May 11, 2016 4:10 PM
Dikemaskini: 8:12 AM

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini melancarkan pusat belian semula barangan kitar semula yang pertama di ibu negara dalam usaha mencapai sasaran 22 peratus kadar kitar semula menjelang tahun 2020.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata pusat berkonsepkan kabin yang diadakan dengan kerjasama Alam Flora Sdn Bhd di Jalan Bunus 6 akan beroperasi sebagai pusat sehenti bagi mengumpul dan membeli semula barangan terpakai daripada orang awam dan dibayar mengikut harga pasaran.

Beliau berkata pusat itu juga sengaja diwujudkan di kawasan perniagaan memandangkan peniaga merupakan pihak yang banyak mengeluarkan sampah yang boleh dikitar semula hampir setiap hari.

"Inisiatif ini diharap dapat mengurangkan kos perbelanjaan sebanyak RM200 juta setahun bagi pengurusan sisa pepejal di ibu negara yang ditanggung DBKL selama ini dalam jangka masa panjang.

"Namun kita akui hasilnya tidak boleh nampak ketara dalam beberapa tahun ini kerana untuk mengubah mentaliti masyarakat membudayakan amalan kitar semula memerlukan masa lama sekurang-kurangnya 10 ke 20 tahun," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pusat berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Datuk Mohd Zain Hassan berkata pusat itu mengumpul 320 kilogram barangan kitar semula sejak ia mula beroperasi 10 hari lalu.

"Untuk peringkat awal, pusat sehenti ini akan dibuka tiga hari seminggu iaitu pada Isnin, Rabu dan Sabtu bermula pukul 11 pagi hingga 4 petang namun sekiranya mendapat sambutan, kami akan memanjangkan waktu operasi," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga bakal membuka tiga lagi pusat seperti itu secara berperingkat di Kampung Baru, Jalan Yew Off Jalan Tun Razak dan Jalan Tiong Nam 3 di Chow Kit, tidak lama lagi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS