PPD: Wujud salah faham terhadap pengetua SMK Tiang Chandi
Siasatan awal oleh Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Mas mendapati wujud salah faham dalam kalangan segelintir ibu bapa pelajar sehingga mereka mendesak supaya pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiang Chandi ditukarkan.
Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Mas Ahmad Termizi Musa berkata bagaimanapun Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Mas akan menjalankan siasatan rapi berhubung perkara itu.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabatnya di Pasir Mas hari ini ketika diminta mengulas tindakan kira-kira 20 ibu bapa pelajar sekolah itu berdemonstrasi di hadapan sekolah itu hari ini bagi mendesak pengetua itu ditukarkan kerana dilaporkan bersikap terlalu tegas terhadap pelajar.
Ahmad Termizi berkata sebahagian besar ibu bapa di sekolah tersebut menerima segala peraturan yang ditetapkan oleh pengetua terbabit yang ternyata berjaya mewujudkan suasana kondusif untuk belajar di sekolah itu.
"Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Mas sentiasa berhubung dengan pengurusan sekolah dan ibu bapa pelajar berkenaan selepas mendapat laporan berlakunya selisih faham antara kedua-dua pihak daripada rakan peneraju sekolah tersebut.
"Kita telah adakan pertemuan antara kedua-dua pihak sebelum ini dan masa sama saya menolak dakwaan ibu bapa bahawa mereka telah membuat laporan kepada pejabat pendidikan daerah kerana sampai hari ini kita masih belum terima sebarang laporan daripada mereka," katanya.
- Bernama

