Stesen televisyen Channel 9 kini menjadi milik Astro selepas kedua-dua pihak memeteraikan perjanjian jual-beli semalam.

Menurut sumber dalaman Channel 9, Astro telahpun membuat bayaran awal RM10 juta untuk membeli Channel 9 kepada pemilik Channel 9 - Anza Sdn Bhd.

Dilaporkan Astro akan membayar RM50 juta untuk mendapatkan hak penyiaran dan peralatan Channel 9 dan Anza.

Menurutnya, kakitangan Asto telah membuat pemeriksaan terhadap peralatan penyiaran yang digunakan oleh Channel 9 di studio Shah Alam, semalam.

Kakitangan bahagian peralatan mengesahkan beberapa pegawai Astro datang dan memeriksa beberapa peralatan studio, tetapi enggan mengulas lanjut.

Baru-baru ini, beberapa media utama tempatan melaporkan, tiga korporat menyatakan minat mereka untuk membeli stesen penyiaran Channel 9 yang menghentikan operasinya 1 Februari lalu.

Tiga korporat tersebut Media Prima Sdn Bhd yang memiliki stesen TV3 dan 8 TV, Astro dan syarikat akhbar, The Star berminat untuk membeli Channel 9.

Sumber kewangan kukuh

Bagaimanapun, menurut sumber itu lagi, Astro dipilih kerana syarikat itu mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh serta pengalaman mengendalikan siaran televisyen berbayar mereka.

Katanya, meskipun Media Prima cukup berpengalaman selama 20 tahun dalam penerbitan televisyen melalui stesen TV3, tetapi ia tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

Manakala The Star pula katanya, walaupun kukuh kewangannya, tetapi ia dimiliki oleh sebuah parti politik dan kerana itu, pihak pengurusan Channel 9 tidak berminat menjualnya kepada mereka.

Sumber itu berkata, Astro akan mengambilalih pengurusan baru Channel 9 mulau Julai ini apabila semua pekerja stesen televisyen itu di bawah pengurusan Anza Sdn Bhd, menamatkan tugas masing-masing.

Seramai 94 pekerja Channel 9 ditawarkan skim pemberhentian sukarela dan pihak syarikat membayar pampasan mengikut undang-undang. Tetapi Astro tidak diwajibkan untuk mengambil mereka bekerja dengan stesen itu.

Astro dijangka semula operasinya selepas setahun pengambialihan tetapi tidak ada tarikh tepat diberi.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Channel 9, Abdul Aziz Hamdan berkata, Channel 9 yang mula beroperasi pada September 2003, tetapi menghadapi masalah kekurangan kewangan untuk meneruskan operasi meskipun mempunyai penontonnya sendiri.

"Pendapatan yang kita perolehi tidak dapat menampung kos operasi," katanya tetapi tidak mahu menyatakan jumlah pelaburan yang dibuat ke atas stesen televisyen tersebut.