Belumpun diketahui tarikh mahupun calon-calon untuk pilihan raya kecil Sungai Besar namun kedua-dua pihak, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) sudah mula 'turun padang' berjumpa penduduk kawasan tersebut.

Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu kira-kira 1,000 penduduk tempatan di Dewan Seri Bernam yang beliau akan selalu 'berada' di Sungai Besar bermula malam ini.

Kebanyakan yang hadir adalah antara 1,247 penerima baru skim pinjaman kredit mikro Hijrah Selangor dengan peruntukan sekitar RM7 juta.

Pada majlis itu, Azmin turut mengumumkan tambahan pinjaman sebanyak RM11 juta untuk usahawan tempatan di Sabak Bernam.

Dengan menekankan kerajaan negeri Selangor tidak akan terlepas pandang projek pembangunan di kawasan pendalaman, kata Azmin, perkhidmatan bas percuma Selangor akan memulakan operasi pada 18 Mei di Sabak Bernam.

"Saya datang ke sini bukan untuk menabur janji atau menagih simpati...saya berani berdepan penduduk Sungai Besar sebab kerajaan dipimpin saya tidak melakukan rasuah," ujarnya sambil merujuk peningkatan pendapatan negeri menerusi pembangunan, dan bukannya sekadar mendapat "derma".

"Kepimpinan negeri dan saya mempunyai wawasan dan perancangan besar untuk negeri. Jika kami diberikan mandat besar, saya percaya mandat itu akan diterjemahkan ke dalam lebih banyak program untuk penduduk," jelasnya.

Pada malam ini, beliau dijangka menghadiri majlis tahlil untuk arwah Datuk Noriah Kasnon.

Sementara itu, pada tengahari tadi, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil telah mengadakan majlis tahlil untuk bekas ahli parlimen Sungai Besar itu.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua wanita Umno dan ahli-ahli di Sungai Besar selain meninjau persekitaran bangunan Umno, bersama-sama Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran kematian arwah Noriah dalam tragedi menyayat hati helikopter terhempas di Sarawak, baru-baru ini, yang turut mengorbankan empat yang lain termasuk suami arwah.

Setakat ini, selain BN, parti pembangkang PAS dan AMANAH menyatakan minat untuk bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan akan bermesyuarat esok untuk menentukan pelbagai perkara mengenai pilihan raya kecil Sungai Besar dan juga Kuala Kangsar.