Gamis nafi didalangi PAS
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menafikan pertubuhan itu didalangi oleh PAS seperti dakwaan Varsiti 2001 dan Utusan Malaysia .
Presidennya Kamarulzaman Abdullah melahirkan rasa kesal dengan dakwaan itu yang dianggap dikeluarkan tanpa bukti.
"Sebarang dakwaan yang tidak berasas ini hanya merujuk majalah Varsiti 2001 yang palsu," katanya dalam kenyataan kepada malaysiakini hari ini.
"(Kaitan itu) tidak adil kepada Gamis kerana pelbagai penyelewengan fakta boleh dimainkan oleh pihak yang mengeluarkan majalah palsu tersebut mengikut motif politik mereka."
Dua hari lalu, Kamarulzaman mempertikaikan laporan akhbar Utusan Malaysia yang mengaitkan Gamis dengan parti pembangkang itu.
" Utusan dalam tulisannya (berita) yang mengaitkan secara langsung antara PAS, sebuah parti pembangkang, dengan Gamis telah mencemarkan imej kami," katanya.
Dalam laporan-laporan akhbar itu berhubung majalah kontroversi itu sejak Jumaat lalu, Gamis sering digambarkan sebagai pertubuhan tidak berdaftar yang "didukung" oleh PAS.
Kamarulzaman juga menyifatkan tulisan-tulisan dalam Varsiti 2001 itu "keterlaluan dan mencemar imej mahasiswa," khususnya dakwaan yang mengaitkan Gamis dengan parti pembangkang.
Menurutnya, Gamis adalah gabungan kelab dan persatuan pelajar Islam yang berdaftar di pusat-pusat pengajian tinggi.
Beliau juga menegaskan, perjuangan tulen pelajar tidak meletakkan agenda kepentingan politik kepartian dan Gamis sanggup bekerjasama dengan semua pihak.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.