Bank Negara tak akan dedah jumlah denda 1MDB
Jumlah kompaun Bank Negara kepada 1MDB kerana melanggar peraturan tidak akan didedahkan kepada umum.
Gabenor baru bank pusat itu Datuk Muhammad Ibrahim berkata sudah menjadi amalan mereka tidak mendedahkan jumlah sebenar kompaun kepada mana-mana individu atau syarikat.
“Pendedahan hanya dibuat secara agregat dan kamu boleh lihat jumlahnya dalam laporan kestabilan kewangan kami.
“Kompaun itu mempertimbangkan kegagalan 1MDB membawa kembali dananya ke Malaysia,” katanya dalam sidang media pertama di Bank Negara di Kuala Lumpur.

Bank Negara pada 28 April ini mengeluarkan surat kompaun pentadbiran kepada 1MDB kerana tidak mematuhi sepenuhnya arahan bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
Ia turut menyatakan keperluan 1MDB membawa pulang wang yang diremitkan di luar negara berikutan pembatalan tiga kebenaran kepada 1MDB pada tahun 2009, 2010 dan 2011.
Bank Negara juga berkata 1MDB gagal mengemukakan bukti dan dokumentasi yang ditetapkan untuk mewajarkan kegagalan mematuhi sepenuhnya arahan membawa pulang wang itu.

